Peruntukan MP pembangkang: Kerajaan perlu bersikap adil

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

MERUJUK kepada isu tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang yang semakin kedengaran selepas hampir setahun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berlalu.

- Advertisement -

Saya berpendapat isu ini walaupun telah berdegar-degar disebut dalam Parlimen Malaysia dan di dada media sosial, ia perlu diambil serius oleh pihak Kerajaan Persekutuan kerana ia melibatkan hak rakyat secara umumnya.

Secara lazimnya, ahli parlimen dilantik melalui pilihan raya umum dan perlu melaksanakan tanggungjawab secara serta-merta terhadap rakyat yang mendiami kawasan yang ditandinginya.

Kita boleh bersetuju bahawa setiap ahli parlimen perlu memberi perkhidmatan kepada semua individu tidak mengira latar belakang walaupun individu tersebut mungkin tidak mengundinya.

Namun, pada tahun 2023, iaitu selepas 66 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, kita berasa cukup terkilan dan rasa teraniaya apabila tahap demokrasi negara kita diperkecilkan sehingga layanan setiap ahli parlimen adalah berbeza mengikut blok kerajaan dan blok pembangkang.

Hak peruntukan ahli parlimen yang bernilai jutaan ringgit ini perlu diberi sama adil kepada semua wakil rakyat tanpa mengira blok kepartian.

Banyak kawasan yang dimenangi oleh ahli parlimen pembangkang sekarang memerlukan peruntukan segera dan mendesak terutamanya melibatkan keperluan asas untuk menjalani kehidupan seharian.  

Peruntukan ini merupakan suatu hak yang perlu dinikmati oleh rakyat secara umumnya dan tidak memerlukan suatu perjanjian yang khusus untuk ditandatangani oleh wakil parti sebelum ia diserahkan kepada ahli parlimen.

Ia merupakan satu bentuk keperluan mendesak bagi seorang Ahli Parlimen dalam menjalankan tugas secara sempurna.

Pandangan saya, tindakan menafikan peruntukan ini, menggambarkan Kerajaan Persekutuan secara langsung telah berlaku zalim dan kejam dengan menghukum rakyat jelata kerana semata-mata mereka telah mengundi parti pembangkang semasa PRU.

Janji untuk menyerahkan peruntukan ahli parlimen secara adil juga merupakan salah satu manifesto oleh Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 baru-baru ini.

Namun, Kerajaan Persekutuan pimpinan PH sepatutnya malu apabila mereka sendiri lupa terhadap janji yang ditabur sebelum ini. Mereka seolah-olah merendah diri bila menabur janji pilihan raya namun menjadi angkuh dan lupa daratan bila telah berjaya menjadi kerajaan.

Kita berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan Ahli Parlimen Tambun, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menilai semula keputusan untuk menyekat peruntukan ahli parlimen pembangkang ini demi kepentingan rakyat jelata.

‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’

YB USTAZ MUHAMMAD ISMI MAT TAIB
Ahli Parlimen Parit
19 November 2023| 6 Jamadilawal 1445 – HARAKAHDAILY 19/11/2023

- Advertisement -