Batalkan konsert Coldplay, sensitif nasib umat Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendesak kerajaan supaya dapat membatalkan konsert yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil melibatkan kumpulan antarabangsa, Coldplay pada 22 November ini.

- Advertisement -

“Amat malang sekali apabila umat Palestin teruk ditindas dan dibunuh, kita di Malaysia bakal berhibur dengan konsert yang melalaikan.

“Ia sekali gus menunjukkan rasa tidak sensitif dan peka kita terhadap isu Palestin yang semakin runcing dengan jumlah kemusnahan dan kematian yang cukup dahsyat,” ujar Timbalan Presiden GAMIS, Adlin Shaimi Baharom dalam satu kenyataan.

Menurutnya, aetakat 17 November, angka rakyat Palestin yang telah dibunuh meningkat melebihi 11,000 jumlah kematian dan beratus ribu rakyat mereka telah kehilangan akses tempat tinggal akibat dibom oleh rejim zionis laknatullah.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya menghayati kembali firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

- Advertisement -