Menjejaki perjalanan cinta kepada Rasulullah S.A.W

- Advertisement -

RAMAI orang mencintai Nabi S.A.W tanpa ilmu. Tanpa mengkaji dan belajar. Kerana ada di kalangan kita, beragama Islam tetapi Islam keturunan. Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana kita dilahirkan daripada keluarga Muslim dan kita hidup di dalam sebuah negara yang majoritinya Muslim. Jadi persoalannya sekarang bagaimana kita hendak memperbaiki keislaman kita? Tiada pilihan lain melainkan dengan belajar.

Bagaimana kita mencintai Nabi Muhammad S.A.W?

1. Mencintai Nabi S.A.W adalah satu kewajiban. Berhati-hatilah bahawa iman kita tidak akan diterima, kalau kita tidak mencintai Nabi S.A.W. Ini bukan pilihan kita, tetapi perintah daripada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

- Advertisement -

 “Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik.”

(at-Taubah :  24)

Seseorang yang mencintai Nabi S.A.W akan semakin mentaati dan mengikuti petunjuknya.

Dari Anas R.A, ia berkata, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian hingga ia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia semuanya.”

(Hadis Riwayat Bukhari No: 15) Status: Hadis Sahih

Kesempurnaan Iman itu menuntut kecintaan yang sempurna kepada Rasulullah S.A.W.

Abdullah bin Hisyam R.A, ia berkata yang bermaksud: 

“Kami mengiringi Nabi S.A.W, dan Baginda memegang tangan Umar bin al-Khattab R.A. Kemudian Umar berkata kepada Nabi S.A.W: ‘Wahai Rasulullah, sungguh engkau sangat aku cintai melebihi apa pun selain diriku.’ Maka Nabi S.A.W menjawab: ‘Tidak, demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, hingga aku sangat engkau cintai melebihi dirimu.’ Lalu Umar berkata kepada baginda: ‘Sesungguhnya sekarang, demi Allah, engkau sangat aku cintai melebihi diriku.’ Maka Nabi S.A.W bersabda: ‘Sekarang (engkau benar), wahai Umar.’”

(Hadis Riwayat Bukhari No: 6632)

Kecintaan kepada Rasulullah S.A.W mesti didahului dengan kecintaan kepada Allah S.W.T. Mencintai Rasulullah S.A.W adalah cinta kerana Allah S.W.T.

Jadi kecintaan kepada Nabi itu adalah Iman. Ini adalah persoalan keimanan. Dengan itulah para Sahabat Nabi S.A.W, rela mati demi Nabi S.A.W. Sebagaimana kisah di perang Uhud, ada seorang wanita Ansar yang sangat mencintai Rasulullah S.A.W, yang dia telah mendapat berita bahawa keluarganya ramai yang syahid tetapi perempuan ini tidak sedikit pun memikirkan keluarganya tetapi yang ditanyainya hanya mengenai Nabi S.A.W, “Bagaimana keadaan Rasulullah S.A.W?”

Seseorang menjawab, “Ayahmu telah syahid!”. Dia pun berucap, “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.” Lalu, dia bertanya lagi mengenai keadaan Rasulullah S.A.W. Seseorang menjawab, “Suamimu telah syahid!” Yang lain juga berkata, “Saudaramu telah syahid.” Namun, lagi-lagi wanita Ansar itu hanya mengucapkan kalimat istirja’ sambil terus menanyakan khabar Rasulullah S.A.W. Bahkan, ketika dikatakan anaknya juga telah gugur, dia tetap menanyakan keadaan Rasulullah S.A.W. Wanita itu belum puas sebelum mendengar khabar utusan Allah S.W.T yang sangat dicintainya tersebut. Lalu, wanita itu kembali bertanya, “Bagaimana keadaan Rasulullah S.A.W?” Seseorang yang baru datang kemudian menjawab, “Rasulullah S.A.W dalam keadaan sihat, sebentar lagi akan datang.”

Ketika Rasulullah S.A.W datang bersama pasukan kaum Muslimin yang tersisa. Wanita itu pun segera berlari menemui Rasulullah S.A.W. Dia sangat bahagia melihat Rasulullah S.A.W dalam keadaan sihat.

Wanita itu berkata, “Ya Rasulullah, setelah melihat engkau, semua penderitaan ini menjadi ringan.” Seperti itulah kecintaan wanita Ansar itu terhadap Rasulullah S.A.W. Dia tidak peduli ketika seluruh keluarganya telah syahid. Baginya yang terpenting adalah Rasulullah S.A.W selamat. Musibah sebesar apapun terasa ringan baginya setelah melihat wajah Rasulullah S.A.W.

Begitulah penangan cinta. Kalau sudah cinta, gunung sanggup didaki dengan kepayahan dan keletihan, apabila sudah sampai di puncak semua kepayahan akan hilang kerana rasa cinta atau suka atas kejayaan. Dia lakukan segala pengorbanan dan kepayahan ini kerana cinta.

Sekarang apa bukti cinta kalian dan apa yang kalian lakukan untuk Rasulullah S.A.W?

Contohnya:

Sumayyah binti khabbat, ibu kepada Ammar bin Yassir, berhari-hari di seksa tetapi dia sanggup bertahan demi cintanya kepada Rasulullah S.A.W dan mempertahankan keimanannya. Nabi S.A.W kalau lalu di tempat itu cuma dapat mengatakan sabarlah wahai keluarga Yassir.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

 “Sabarlah wahai keluarga Yassir, sesungguhnya yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga.”

(Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (5646). Riwayat ini dinilai sahih berdasarkan Sahih al-Sirah (halaman 154) dan Hasan Sahih dalam Fiqh al-Sirah (halaman 103))

Dalam penyeksaan itu, Yassir telah meninggal dunia. Abu Jahal pula telah menikam Sumayyah pada kemaluannya sehingga beliau meninggal dunia. Sumayyah merupakan orang pertama yang syahid dalam Islam dan penyeksaan terhadap Ammar diperhebatkan lagi.

Mereka diseksa kerana mereka mengatakan: “

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلَّا الل
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُالله

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Jadi dalam beribadah mesti ada cinta, dari cinta inilah mengalirnya kekuatan. Kalau kita mengikuti Nabi S.A.W tanpa cinta dan hanya sekadar ikut-ikutan sahaja, yang kita dapat adalah letih dan lelah.

Anas dan Abu Hurairah R.A meriwayatkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

“Tidak beriman (secara sempurna) salah seorang dari kalian hingga aku menjadi orang yang lebih dia cintai daripada anaknya, orang tuanya, dan manusia seluruhnya.”

(Hadis Sahih – Diriwayatkan oleh Bukhari)

Dalam Hadis ini Rasulullah S.A.W memberitahu kepada kita bahawa iman seorang Muslim tidak akan sempurna dan dia tidak akan dapat meraih iman yang menjadikannya masuk syurga tanpa dia mengutamakan kecintaan kepada Rasulullah S.A.W melebihi daripada kecintaan kepada anaknya, orang tuanya, dan manusia seluruhnya. Hal ini dikeranakan cinta kepada Rasulullah S.A.W bererti cinta kepada Allah. Sebab, Rasul adalah orang yang menyampaikan wahyu dari-Nya dan membimbing kepada agama-Nya. Dengan demikian, cinta kepada Allah dan Rasul-Nya tidak akan sah kecuali dengan melaksanakan segala perintah syariat dan menjauhi berbagai larangannya.

Bila, cinta kita akan nampak?

Di saat, kita disuruh memilih!

Contoh:

Seorang anak disuruh memilih antara ayah atau isterinya. Dan ketika disuruh memilih antara ayah atau pekerjaannya. Di sini dipertaruhkan cinta. Kalau ternyata pilihan anak tidak mengikut kehendaknya, maka anak akan disuruh pergi:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk ugama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).””

(At taubah : 24)

Kita di dunia ini hanya menumpang sementara sahaja. Bumi ini milik Allah S.W.T. Jadi kalau kita lebih mencintai yang lain selain daripada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W, maka yang ada, hanya kehancuran dan kebinasaan buat kita. Dan Allah S.W.T tidak akan memberikan hidayah kepada orang-orang yang fasik, yang keluar dari jalan kebenaran.

2. Konsekuensi dari syahadah bahawa Rasulullah S.A.W itu utusan Allah S.W.T, selain menuntut mesti adanya rasa cinta, ulamak juga mengatakan, hendaklah taat kepada Allah S.W.T dan Nabi-Nya.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap umat ku akan masuk ke syurga kecuali sesiapa yang enggan.” Para Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah yang enggan? Baginda menjawab, “Sesiapa mentaati ku, dia akan masuk syurga, sesiapa yang ingkar kepadaku, dia enggan.”

(Sahih al-Bukhari, Kitab al-I’tisham bi al-Kitab wa al-Sunnah, no: 7280)

Ramai di kalangan manusia, mulutnya berbicara mahukan syurga tetapi perbuatannya dan jalannya menuju ke neraka. Manusia masuk syurga kerana taat dan mendapat jaminan daripada Rasulullah S.A.W bukan jaminan daripada manusia. Jangan pernah percaya kepada jaminan seseorang yang mengatakan, sesiapa yang mengikutinya akan masuk syurga. Kenapa? Kerana syurga ini tidak akan dibuka kecuali kepada Nabi S.A.W.

Anas bin Malik berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Aku berjalan sampai ke depan pintu syurga pada Hari Kiamat, kemudian aku mengetuk pintu itu. Lalu dibuka pintu syurga, penjaganya bertanya, “Siapa kamu?” Rasulullah menjawab, “Aku Muhammad.” Penjaga syurga berkata, “Kerana kamulah aku diarahkan supaya tidak ada seorang pun yang boleh membuka pintu syurga ini sebelum datangnya kamu.”

Jadi konsekuansi dari syahadah kita, kita mesti mentaati Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W dan meninggalkan semua larangan-Nya tanpa mempersoalkan kenapa mesti taat dan kenapa mesti tinggalkan yang dilarang. Kalau sudah ada cinta, sudah pasti seseorang akan mengatakan ‘aku dengar dan aku patuh’.

Para Sahabat Nabi S.A.W membuktikan kecintaannya kepada Nabi S.A.W bukan setakat kata-kata tetapi dengan perbuatan. Mereka tidak akan sama sekali melakukan sesuatu yang sudah dilarang oleh Rasulullah S.A.W, malah sanggup mati demi mempertahankan ketaatannya.

3. Konsekuensi dari syahadah bahawa Nabi S.A.W pesuruh Allah S.W.T, percaya dengan semua informasi yang sudah di sampaikan oleh Rasulullah S.A.W.

Contohnya:

Tiada penyakit menular. Kita kena yakin bahawa  yang mengizinkan penyakit itu berjangkit adalah Allah S.W.T. Allah S.W.T yang memberikan kali pertama penyakit itu kepada seseorang dan Allah S.W.T jualah yang berikan penyakit itu kepada yang lain, bukan kerana penyakit itu. Sebab itu, kita disuruh untuk mematuhi apa-apa sahaja arahan untuk mengelakkan dari penyakit itu sebagai ikhtiar.

Nabi bersabda yang bermaksud: 

“Tidak ada penularan, tidak ada ramalan buruk, dan tidak ada penyusupan kembali (reinkarnasi) ruh orang mati pada burung hantu.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam Tadrib, Imam Suyuthi mencatat bahawa Ibnu Shalah mengatakan, pada hakikatnya penyakit itu tidak dapat menular dengan sendirinya. Akan tetapi Allah-lah yang membuatnya menular.

Pesan daripada Rasulullah S.A.W ketika dilanda musibah wabak atau ujian, adalah tetap bersangka baik dengan Allah S.W.T, optimistik, meminta pertolongan daripada Allah S.W.T, membaca al-Quran, menjaga wuduk, membasahi lidah dengan zikrullah dan tetap berikhtiar sekuat tenaga. Yakinlah bahawa setiap takdir Allah S.W.T, pasti ada hikmahnya, bersyukurlah.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

“Tidaklah Allah S.W.T menurunkan suatu penyakit, kecuali Dia juga yang menurunkan penawarnya.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Hurairah R.A, beliau mendengar bahawa Nabi S.A.W bersabda yang maksudnya:

 “Apabila lalat termasuk ke dalam minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamkanlah ia (lalat) kemudian buangnya. Ini kerana, salah satu daripada sayapnya adalah penyakit dan sebelah lagi adalah penawar.”

(Riwayat al-Bukhari (3320))

Semua informasi yang diberitahu oleh Nabi S.A.W, semuanya benar-benar terjadi. Jadi setiap kita harus belajar agar tidak mudah sembarangan menolak apa sahaja yang datang dari Nabi S.A.W. Semua daripada Nabi S.A.W adalah daripada Allah S.W.T.

Ingat! 1,400 tahun yang lalu, Nabi S.A.W telah mengingatkan kita mengenai tanda-tanda kiamat dan semuanya sudah terjadi sekarang ini. Baca Hadis di bawah:

Daripada Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

 “…Baginda bersabda: (Antara tanda-tanda hari kiamat ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina atau meninggikan bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)….”

(Hadis Riwayat al-lmam Muslim)

4. Kita harus beribadah sesuai dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Daripada Malik bin Huwairith R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: 

 “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”

(Hadis riwayat al-Syafie dalam Musnad-nya (1/55), dan Ibn Hibban dalam Sahih-nya (1658))

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya: 

“Ambillah daripadaku ibadah haji kalian.”

(Hadis Riwayat al-Nasa’ie: (3062))

Jadi bagi seorang Muslim kalau melakukan ibadah, jadikan Nabi S.A.W sebagai contoh. Pelajari semua tatacara melakukan ibadah. Bagaimana Nabi S.A.W bersolat, berpuasa, berzikir, berdoa, berzakat, berhaji dan yang lain-lainnya. Tidak perlu ditambah mahupun dikurangi.

Daripada Anas bahawa beberapa orang Sahabat telah bertanya kepada isteri-isteri Rasulullah S.A.W mengenai amalan Baginda yang sembunyi (yakni yang dilakukan di rumah) lalu sebahagian mereka berkata, saya tidak akan berkahwin, ada yang berkata, saya tidak akan memakan daging, dan ada yang berkata saya tidak akan tidur di atas tilam.

Mendengar hal ini, lalu Rasulullah S.A.W menaiki mimbar dan mengucapkan Alhamdulillah dan memuji-muji Allah S.W.T seraya bersabda yang bermaksud: 

“Apa hal dengan kaum itu mengatakan begini dan begini padahal aku bersembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka, dan aku juga mengahwini perempuan. Maka sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Impak dari menjejaki perjalanan mencintai Rasulullah S.A.W, kita mesti mencintai dan mengikuti amalannya dengan penuh keimanan. Mempelajari dan menghadamkan sejarah hidup Beliau dari kelahiran sehingga wafat. Hal inilah mendorong para pembenci Rasulullah S.A.W daripada kalangan kafir dan munafik, berusaha keras menyembunyikan sejarah hidup Nabi ini dari diketahui umum dengan pelbagai cara, agar umum melihat Nabi seorang yang hina dan jahat. Sedangkan Allah S.W.T telah mengangkat Nabi sebagai kekasih-Nya dan ikutan hingga akhir zaman.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: 

“Maka, sesungguhnya sesiapa di antara kamu yang hidup selepasku dia akan melihat banyak perselisihan, maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rashidin yang diberi petunjuk, gigitlah ia dengan gigi geraham (berpegang kepada sunnah dengan sekuat hati).”

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 17/11/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -