Video jelik: Budaya kotor yang wajib dihentikan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dato’ Dr Mohammad Agus Yusof yang dilanda kontroversi video jelik didakwa berkait dirinya harus menangani isu itu secara undang-undang.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya benar video tular itu disunting dengan dialog mengaibkan, ia merupakan satu perbuatan jenayah sangat jijik membabitkan mereka yang berjawatan dalam agensi kerajaan.

“Saya pada mulanya tidak berminat untuk mengulas berhubung penyebaran satu video jelik membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM dua hari lepas kerana menganggapnya sebagai satu ‘isu peribadi’. 

“Dan (kerana) wajar ditangani secara tertutup sahaja bagi mengelakkan tersebarnya aib individu-individu tertentu,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menjustifikasikan ulasannya.

Namun menurut Ahmad Fadhli, apabila mendengar sidang media yang dibuat oleh dua individu terbabit sebagai watak dalam video berkenaan, ternyata ia satu perkara yang harus ditangani secara undang-undang.

Terdahulu, Dr Agus dan ‘Wahab’ yang disebut dalam video itu di mana kemudian identitinya diperkenalkan sebagai Penolong Pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir telah mengadakan sidang media khas di sebuah hotel di Bangi, di sini malam tadi.

Dalam sidang media tersebut, Wahab mendakwa bahawa beliau diarahkan untuk merekod perbualan oleh seorang individu lain yang merupakan seorang berjawatan di dalam J-KOM dan kemudiannya video itu disunting. 

“Adakah wang pembayar cukai untuk membayar gaji dan elaun lantikan politik di dalam kerajaan (seperti dalam J-KOM ini) sedang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti jahat seperti ini? 

“Berapa banyakkah lagi ‘video-video’ yang sedang dalam pembikinan menunggu masa untuk disebar bagi menjatuhkan sesama sendiri dalam Kerajaan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN)?” soalnya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila sidang media mereka terbabit itu juga didapati bertindak menyalahkan pembangkang dalam hal tersebut padahal tidak ada langsung keterlibatan di dalamnya.

Tegas Ahmad Fadhli, pihak pembangkang telah dikaitkan dan didakwa menyebabkan peletakan jawatan Ketua Pengarah J-KOM tersebut, sedangkan perkara yang berlaku adalah mereka berbalah sesama sendiri.

“Tiba-tiba disalahkan pihak lain. Kes ini hanya akan dua kemungkinan; jika Wahab berkata benar, ia membuktikan bahawa ada elemen permainan kotor dalam agensi kerajaan khususnya lantikan politik. 

“Manakala jika sebaliknya, satu tindakan wajib diambil oleh kerajaan bagi membersihkan agensi berkenaan dari tuduhan ini. Saya menggesa siasatan segera dan telus perlu dilaksanakan segera bagi menjernihkan isu ini. 

“Walaupun kerajaan biasanya lambat bertindak, dalam hal ini mohon percepatkan,” ujar beliau yang mengharap reaksi segera pihak berautoriti terhadap isu tersebut. – HARAKAHDAILY 18/11/2023 

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!