Zaitun, Baitul Maqdis dan perebutan kawasan akhir zaman

- Advertisement -

TERTERA gambar seorang wanita warga Palestin memeluk pokok zaitunnya di perkampungan Salim, Tebing Barat yang telah dimusnahkan oleh tentera Israel. Peristiwa menyayat hati yang berlaku pada 2005 itu adalah antara siri-siri berterusan usaha sabotaj yang telah dilakukan oleh pihak penjajah, demi menghapuskan simbol Baitul Maqdis bagi umat Islam, iaitu buah zaitun.

Sejak 1967, dianggarkan sebanyak sejuta batang pokok zaitun yang rata-ratanya berusia ratusan tahun telah dimusnahkan. Ia menjadi warisan turun temurun warga Palestin, sekali gus sebagai bukti tanah berkat itu adalah milik mereka. Antara alasan bodoh pihak Israel adalah kononnya pokok-pokok zaitun itu berpotensi mengancam keselamatan mereka, kerana dibimbangi pejuang-pejuang Palestin boleh bersembunyi di sebalik pokok-pokok tersebut.

Surah al-Tin

Di dalam al-Quran, Allah ada menyatakan berkenaan buah-buah yang kemudian dikaitkan dengan kawasan-kawasan tertentu. Allah berfirman:

- Advertisement -

وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ • وَطُورِ سِينِينَ • وَهَٰذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ

“Demi tin dan demi zaitun. Dan demi Tur Sina. Dan demi negeri ini yang aman.”

(al-Tin 1-3)

Di dalam Tafsir Imam al-Tabari dan selainnya, ada menukilkan pandangan bahawa buah tin itu merujuk kepada Damsyik yang berada di dalam wilayah Syam. Sementara buah zaitun pula merujuk kepada Baitul Maqdis. Selanjutnya Semenanjung Sinai di Mesir dan bumi yang aman itu merujuk kepada Makkah.

Antara maksud aman adalah, ia akan tetap dipertahankan dari musuh yang ingin mengancam keamanan.

Kawasan-kawasan tersebut jika dicerap dengan peta hari ini, ia membabitkan negara Lubnan, Syria, Jordan, Palestin, sebahagian Iraq, sebahagian Saudi dan sebahagian Mesir. Bermakna kawasan luas itu adalah milik umat Islam yang perlu dipertahankan. Pasca Arab Spring, kita mendapati kawasan-kawasan tersebut berjaya dilemahkan dan ia sangat memberi kelebihan kepada Israel.

Antara dua sungai

Di dalam peristiwa Mi’raj, Nabi kita telah diperlihatkan 4 batang sungai. Jibril mengkhabarkan bahawa 2 batang sungai batin itu merujuk kepada sungai syurga. Selanjutnya:

فَأَمَّا الظَّاهِرَانِ النِّيلُ وَالفُرَاتُ

“Maka adapun 2 batang sungai zahir itu adalah, Nil dan Furat.” 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ternyata kawasan yang ditafsirkan dari surah al-Tin dan kawasan yang bersempadanan antara sungai Nil – sungai Furat itu adalah kawasan yang sama. Petunjuk ini sangat jelas. Ia sepatutnya menyedarkan kita bahawa keselamatan Baitul Maqdis turut bergantung dengan senario yang dicorak oleh kawasan-kawasan sekelilingnya.

Merebut kawasan yang sama

Jika kita membandingkan sempadan-sempadan kawasan yang menjadi dalil bagi umat Islam, dengan cita-cita jangka masa panjang Zionis, kita akan dapati mereka mendakwa akan hal yang sama. Perintis gerakan Zionis, Theodor Herzl sedari awal telah melakar sempadan tanah idaman mereka dari Sungai Nil hingga Sungai Furat sebagai cita-cita penubuhan wilayah Israel Raya.

Jika ditekap antara peta yang kita cerap dari surah al-Tin serta Hadis 2 batang sungai milik umat Islam dan peta yang dilakar sebagai wilayah Israel Raya, ia adalah kawasan yang sama. Pertindihan yang pasti mencetuskan konflik politik agama yang berpanjangan.

Kenapa wujud persamaan? Mana yang tulen?

Untuk memudahkan kefahaman, semua Nabi dan Rasul terdahulu membawa aqidah dan syariat Islam. Tiada dalam kalangan mereka yang membawa agama Yahudi atau Kristian. Allah berfirman:

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطَ كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ قُلْ أَأَنتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Atau apakah kamu (Yahudi dan Kristian) mendakwa Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’qub dan keturunannya adalah penganut Yahudi atau Nasara? Katakanlah: “Apakah kamu lebih mengetahui atau Allah?” Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan kesaksian dari Allah yang ada padanya? Dan Allah sekali-kali tidak akan lalai dari apa yang kamu kerjakan.” 

(al-Baqarah: 140)

Apabila berlangsungnya penyelewengan dalam tempoh masa yang panjang, akhirnya dari kebejatan tersebut melahirkan agama baharu, iaitu Yahudi dan kemudiannya Kristian. Yang menjadi masalah adalah, mereka mengambil sejarah umat Islam terdahulu lalu difailkan sebagai sejarah agama baharu mereka.

Ini termasuklah sejarah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang menubuhkan empayar Islam Bani Israel di Baitul Maqdis. Lalu ia dijadikan inspirasi utama bagi cita-cita pembentukan Israel Raya. Kononnya ingin mengembalikan kerajaan yang hilang. Begitu juga formula penaklukan dunia, bergantung dengan penguasaan ke atas Baitul Maqdis dan sekitarnya turut di bawa masuk ke dalam doktrin politik agama mereka.

Maka dengan menciplak bulat-bulat sejarah, peta dan formula penaklukan dunia tersebut, tidak hairanlah berlaku dakwaan yang bertindih. Sedangkan Allah telah gazetkan akan kelayakan ke atas bumi berkat tersebut dengan firman-Nya:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِن بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ

“Dan sesungguhnya kami telah tetapkan di dalam kitab Zabur setelah (tertulis dalam) al-Zikr, bahawasanya bumi ini diwariskan kepada hamba-hambaKu yang soleh.”

 (al-Anbiya: 105)

Agenda perluasan pengaruh dan sempadan Israel

Cita-cita Zionis adalah inginkan kawasan luas dari Sungai Nil hingga ke Sungai Furat. Mereka tidak terhenti sekadar menguasai peta Palestin yang bentuknya seperti belati itu sahaja. Cita-cita berjangka masa panjang tersebut juga seharusnya mengingatkan negara-negara Arab yang kini lunak dengan Israel, bahawa suatu hari nanti mereka akan turut menjadi mangsa.

Justeru sebelum perluasan sempadan itu dapat dilakukan, program-program bagi merasionalisasikan sokongan terhadap Israel telah pun berjalan sejak 20 tahun kebelakangan ini. Sama ada kita sedar atau tidak, ia telah berlangsung.

USTAZ ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
16 November 2023. – HARAKAHDAILY 16/11/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -