Keputusan Mahkamah Persekutuan bukti tiada unsur sogokan

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Ahli Parlimen Marang membuktikan tiada unsur sogokan seperti didakwa pemimpin Umno.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah tertinggi di negara ini.

Katanya biarpun fakta kes petisyen Marang hampir serupa petisyen Parlimen Kemaman dan Kuala Terengganu, namun panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak wujud unsur sogokan.

“Keputusan kes Marang menutup segala tohmahan kononnya PAS memberi rasuah kepada pengundi-pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lepas.

“Apatah lagi keputusan semalam dibuat tiga panel hakim berbanding hanya seorang hakim dalam kes petisyen Kemaman dan Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi di sini.

Petisyen pilihan raya parlimen Marang difailkan pemimpin Umno di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu 3 Januari lepas, antara lain mendakwa calon PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan bantuan diberi kerajaan negeri.

Pempetisyen mendakwa program anjuran kerajaan negeri termasuk i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa sebagai unsur rasuah.

Pada PRU parlimen Marang Tuan Guru Abdul Hadi memenangi dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira Jasmira Othman (BN), Azhar Ab Shukur (PH) dan Dr Zarawi Sulong (Pejuang).

Ahmad Fadhli yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, keputusan panel hakim Mahkamah Persekutuan menutup segala tohmahan terhadap PAS yang didakwa menyogok pengundi.

Oleh itu beliau berharap pempetisyen menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

“Saya berharap supaya pihak yang memfail petisyen iaitu pemimpin Umno dapat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Dan dijangka sekali lagi Umno ditolak pada Pilihan Raya Kecil Kemaman pada 2 Disember ini,” kata beliau.

Beliau turut bersyukur dengan keputusan itu, di samping mengucap tahniah kepada Presiden PAS mengekalkan kerusi Parlimen Marang.

“Tidak lupa ucapan tahniah kepada pasukan peguam diketuai Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang bertungkus lumus dari awal perbicaraan sehingga kes itu tamat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

- Advertisement -