Tangani segera masalah penjualan dan harga benih padi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta menyatakan langkah bagi menyelesaikan masalah penjualan Benih Padi Sah (BPS) kepada pesawah.

Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, tanpa kawalan pihak berkuasa golongan itu terpaksa mendapatkan harga BPS lebih mahal berbanding nilai ditetapkan kerajaan.

- Advertisement -

Beliau berkata, jika KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras tidak memandang serius situasi itu akan memberi tekanan seterusnya menjejaskan hasil pengeluaran beras negara.

“Minta kerajaan menyatakan langkah-langkah segera yang telah diambil secara tegas dan holistik bagi menangani isu penjualan benih padi sah yang begitu menekan para pesawah mutakhir ini.

“Yang pastinya akan menjejaskan hasil pengeluaran padi dan kadar sara diri (SSR) beras negara,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan melaksanakan empat langkah bagi menangani masalah tersebut.

Beliau berkata, kerja pemantauan dan mengawal ketat kelulusan ladang dan makmal terhadap 12 pengeluar BPS berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kerajaan juga katanya, meluluskan 532,325 kampit BPS bagi pesawah di Kedah dan Perlis yang diagihkan secara berperingkat bermula Oktober sehingga 10 November lalu.

Pada 17 November, katanya KPKM dijangka meluluskan 50,000 kampit BPS iaitu 31,000 diberikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan baki kepada luar jelapang Kedah dan Perlis.

“Keempat melancarkan pasukan petugas operasi BPS zon utara bermula 7 hingga 21 November untuk pastikan peruncit menjual mengikut harga ditetapkan oleh kerajaan dan tiada unsur menyorok BPS.

“Sehingga kini sebanyak 20 lesen ditarik balik pada 16 November dua lagi ditarik balik kerana gagal mengikut peraturan ditetakan dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!