‘Saya bantah, nafi dakwaan Langkawi kononnya sunyi’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyanggah serta menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya Langkawi kini sunyi dan tidak didatangi pelancong.

- Advertisement -

Katanya, pada cuti perayaan Deepavali baru-baru ini, hampir 20,000 pelancong luar datang bercuti dan sebahagiannya datang dengan menaiki ‘cruise’ ke pulau lagenda itu.

“Saya bantah dan nafi dakwaan Langkawi kononnya sunyi. Semua destinasi pelancongan mempunyai season peak . Ada masa ramai orang, ada masa kurang.

“Harga hotel pun tak sama. Time season peak atau musim cuti lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.

“Semua itu perkara biasa dalam sektor pelancongan. Mungkin yang cakap itu orang yang tidak biasa dengan sektor pelancongan,” katanya pada sidang media, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Ujar Sanusi lagi, gambaran negatif yang dibuat oleh pihak tertentu kemungkinan bertujuan untuk mendapatkan peruntukan kewangan mengadakan promosi atau program-program tertentu di pulau berkenaan.

“Tetapi jelas sekali, isu-isu yang ditimbulkan hanya rekaan, termasuk kononnya harga makanan dan lain-lain mahal sedangkan penduduk tempatan tidak pula ‘complain’ apa-apa pun.

“Yang dok buat isu macam-macam ni, bukan datang ke Langkawi pun,” tambahnya lagi.

Sejak kebelakangan ini, terdapat laporan daripada beberapa media tempatan termasuk portal-portal milik individu mendakwa Langkawi seolah-olah menjadi ‘pulau zombie’ kerana sunyi tiada pengunjung.

Terdapat juga dakwaan kononnya para peniaga dan pengusaha kereta sewa ‘gulung tikar’, termasuk harga makanan dijual dengan harga yang mahal.

“Sebut harga mahal, di tanah besar inipun nasi goreng RM7.00 sepinggan tetapi itu dikira masih murah berbanding di negeri-negeri lain. Kos sara hidup di Kedah ini masih rendah,” ujar Sanusi.

Ekoran itu beliau mengharap golongan yang cuba memberi gambaran buruk berkenaan Langkawi agar insaf dan segera bertaubat serta berhenti membuat provokasi menutup periuk nasi orang. – HARAKAHDAILY 15/11/2023

- Advertisement -