Solidariti kepada petugas, profesional kesihatan di Gaza

- Advertisement -

SETAKAT hari ini, Peperangan Taufan Al Aqsa di Palestin sejak 7 Oktober 2023 telah menyebabkan kematian lebih daripada 11,000 nyawa dan seramai 29,500 orang awam telah cedera.

- Advertisement -

Pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak berdosa ini adalah termasuk 4,506 kanak-kanak, 3,207 wanita dan 678 orang tua. Malah seramai 1,500 kanak-kanak lagi masih belum dijumpai. 

Fasiliti perubatan telah dijadikan sasaran perang oleh rejim penakluk zionis Israel dengan alasan simplistik bahawa premis-premis tersebut telah dijadikan tempat perlindungan oleh pejuang-pejuang HAMAS.

Sehingga kini, menurut Menteri Kesihatan Palestin terdapat sebanyak 20 daripada 35 buah hospital di Gaza telah musnah dan tidak dapat beroperasi.

Lebih meruncingkan keadaan, fasiliti perubatan yang masih beroperasi terpaksa beroperasi dalam keadaan yang tidak kondusif dengan kekurangan ubatan, sekatan bekalan elekrik, sekatan alatan perubatan, sekatan keluar masuk bantuan kemanusiaan, dan sekatan pergerakan unit responden kesihatan yang bertanggungjawab merawat serta membawa mangsa-mangsa yang memerlukan rawatan di hospital sehingga para doktor terpaksa melakukan pembedahan tanpa ubat pelali (anasthaesia).

Malahan para petugas kesihatan dan kakitangan perubatan di Gaza juga telah dijadikan sasaran perang oleh rejim zionis ini.

Pada hari Jumaat (10 November) beberapa hospital besar di Gaza seperti Hospital Al Syifa’ dan Hospital Al Quds telah dibedil secara berterusan oleh rejim penakluk zionis Israel dan menyebabkan kematian lebih 20 orang pesakit serta beratus pesakit dan kanak-kanak telah tercedera.

Tragedi kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai masyarakat awam yang tidak berdosa termasuk petugas perubatan, pemusnahan fasiliti perubatan serta penghalauan penduduk pribumi merupakan suatu malapetaka besar kepada umat manusia dan juga malapetaka besar kepada perkhidmatan perubatan di dunia moden ini.

Justeru, Lajnah Kesihatan PAS Pusat ingin menegaskan kekesalan di atas episod keganasan yang berlaku terhadap fasiliti dan para petugas kesihatan di Gaza yang sepatutnya dilindungi sebagaimana yang telah digariskan oleh badan dunia, iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepertimana yang termaktub dalam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court – ICC).

Lajnah Kesihatan PAS Pusat juga ingin menyatakan solidariti kepada para petugas dan profesional kesihatan di Gaza yang terus cekal memberikan perkhidmatan yang terbaik pada saat yang amat sukar ini.

Kami juga menyeru semua entiti kesihatan di Malaysia khususnya, dan dunia amnya untuk menyatakan sokongan terhadap warga petugas kesihatan di Palestin khususnya di Gaza.

YB DATO’ DR. AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat
12 November 2023 – HARAKAHDAILY 12/11/2023

- Advertisement -