Prihatin: Sikap kepedulian seorang mukmin

- Advertisement -

KEHIDUPAN mukmin sentiasa diperingatkan dengan amanah yang akan dipersoal di akhirat. Tidak ada perkara yang terlepas dari perhitungan Allah.

Mukmin diharamkan dari bersikap tidak ambil peduli. Antaranya, mukmin tidak boleh berdiam diri apabila berhadapan dengan kekufuran dan kemaksiatan. Mencegah dengan pelbagai kaedah, mendidik masyarakat mengenai buruknya maksiat, istiqamah dengan perkara itu merupakan sifat yang mulia. Itulah keprihatinan yang sangat tinggi nilainya di sisi Allah.

Bukankah makna prihatin adalah sentiasa sedar dan membantu keperluan orang lain, sehingga mereka keluar dari kesusahan. Kesusahan apa yang lebih besar dari dihumban ke dalam neraka Allah?

Ahli PAS diperingatkan mengenai kehidupan mereka yang perlu sentiasa menjadi penolong manusia lain untuk keluar dari kesusahan mereka.

Dalam urusan membawa manusia kepada Allah, bukan semua akan dengan mudah menerima. Maka di sana akan wujud pelbagai mehnah. Mehnah ini tidak boleh menjadi alasan untuk kita meninggalkan urusan mengajak manusia kepada Allah.

Apakah kita sangka kehidupan ini hanya permainan, dan kita tidak akan dipertanggungjawabkan dengan pilihan kita dalam meninggalkan kerja membawa manusia kepada Allah. Keprihatinan terhadap perkara ini akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak:

- Advertisement -

 أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ 

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

[al-Muʾminūn: 115]

USTAZ AIREROSHAIRI ROSLAN
Naib Yang DiPertua
PAS Kawasan Kuala Krau – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -