Setahun Anwar diberi peluang, tiada juga perubahan

- Advertisement -

KEMAMAN: Orang Melayu-Islam telahpun menunjukkan penolakan kepada parti-parti liberal, sosialis dan sekular pada PRU15 lalu, namun kerana politik manipulasi gabungan tersebut dapat membentuk kerajaan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat bukan sahaja telah memberi peluang selama 100 hari kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerajui pemerintahan.

Malah ujarnya, selama hampir setahun diberikan peluang secara selesa untuk mengendalikan tadbir urus dan melaksanakan idea, namun tiada perubahan dapat dilihat sehingga kini. 

Bekas Setiausaha Agung Umno dan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berucap demikian dalam program Ceramah Perdana Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P.040 Kemaman di Padang Astaka Cukai, di sini malam tadi.

“Kita ingat adalah ‘touch of gold’, adalah sentuhan keramat, adalah kepandaian dan kebijaksanaan. Tapi hari ini setelah cukup setahun, dua kali belanjawan sudah dibentang. Dasar ekonomi sudah diperkenalkan, retorik ucapan dah berjela-jela.

“Jawabnya Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya adalah kerajaan yang ternyata tersangat gagal segagal-gagalnya. Tak ada satu perkara yang boleh disebut janji untuk menurunkan kos sara hidup ataupun nak menurunkan harga barang.

“Ataupun nak memperbaiki ekonomi, nak menambah peluang pekerjaan ataupun nak mengawal inflasi ataupun nak mengawal hutang negara. Tak ada satu pun indikator sebuah kerajaan yang boleh membawa kejayaan pada negara. 

“Saya tidak dapat bayangkan untuk setahun, dua tahun ke hadapan kalau prestasi kerajaannya seperti ini. Kalau prestasi Menteri-menterinya seperti yang ada sekarang. Dan kalau dasar-dasar yang ada pada hari ini yang cukup membimbangkan,” ujarnya.

Katanya, apabila melihat belanjawan dibentangkan oleh kerajaan, beliau meramalkan ia akan membawa kepada ekonomi yang lebih padah kerana kononnya hendak menyusun semula subsidi untuk kesan lebih besar kepada rakyat.

Menurutnya, kelompok 60 peratus rakyat akan menerima tempias tekanan kenaikan kos sara hidup yang sangat besar mulai pada tahun 2024 kerana rombakan sistem percukaian juga tidak seimbang.

“Tidak ada ‘will power’ untuk mengubah sistem percukaian yang lemah daripada SST kepada GST yang lebih rendah. Tetapi sebaliknya mengenakan cukai-cukai tertentu yang daripada sudut ekonomi akan memberikan implikasi yang besar.

“Di mana kutipan tak seberapa, tapi sumbangan kepada tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi akan melonjak. Ini semua kita lihat bajet pertama dah selesai satu tahun hasil tak ada positif tidak ada,” ujarnya.

Beliau turut membidas ugutan untuk membeli dan menarik wakil-wakil rakyat pembangkang dengan tawaran peruntukan dengan syarat memberi sokongan kepada individu tertentu.

“Kalau tidak rasuah, apakah itu? Ini rasuah yang cuba disogokkan, yang dihalalkan secara terbuka oleh kerajaan,” tempelaknya kepada perbuatan tidak bermoral dilakukan itu.

Tan Sri Annuar turut menyelar belenggu dan serba salah kerajaan untuk menunjukkan sokongan teguh kerajaan kepada perjuangan Palestin hinggakan berlaku larangan takbir baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 11/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -