Parlimen Turkiye `buang’ Coke dan Nestle

Presiden Tayyip Erdogan bertemu ahli parlimen di Parlimen Turkiye.- REUTERS
- Advertisement -

ANKARA: Parlimen Turkiye mengeluarkan produk Coca-Cola dan Nestle daripada restoran parlimen kerana didakwa menyokong Israel dalam konflik di Gaza.

Kedua-dua syarikat terbabit tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

- Advertisement -

“Produk syarikat yang menyokong Israel tidak akan dijual di restoran, kafeteria dan rumah teh di parlimen,” kata Perhimpunan Kebangsaan Besar Turki, tanpa menyatakan identiti syarikat itu.

Speaker Parlimen, Numan Kurtulmus yang membuat keputusan itu menyatakan: “menyokong sensitiviti orang ramai mengenai memboikot produk syarikat yang secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka terhadap jenayah perang Israel (dan) pembunuhan orang yang tidak bersalah di Gaza.”

Sumber Parlimen berkata, minuman Coca-Cola dan kopi segera Nestle adalah satu-satunya jenama yang dikeluarkan dari menu, sambil menambah keputusan itu bertujuan untuk membalas “bantahan orang ramai terhadap syarikat-syarikat ini” kerana menyokong Israel.

Namun, kenyataan parlimen mahu pun sumber tidak menyatakan cara Coca-Cola dan Nestle menyokong usaha perang Israel.

Bulan lalu, Nestle menyatakan menutup sementara sebuah kilang pengeluarannya di Israel sebagai “langkah berjaga-jaga”, menjadi gergasi produk pengguna pertama yang mengumumkan tindak balas terhadap perang.

Aktivis Turki dalam beberapa hari kebelakangan ini menamakan kedua-dua syarikat dalam siaran media sosial yang menyeru pemboikotan barangan Israel dan syarikat Barat yang mereka anggap menyokong Israel.

Tindakan Parlimen Turkiye adalah antara yang pertama oleh kerajaan atau organisasi besar yang menyasarkan jenama global utama dalam perang sebulan antara Israel dan pejuang Palestin.

Di tempat lain, Kesatuan Pekerja Pelabuhan Barcelona enggan memuat dan memunggah sebarang bahan ketenteraan, manakala Kesatuan Pengangkutan Belgium enggan mengendalikan peralatan ketenteraan yang dihantar ke Israel.

Sejak sebulan lalu, Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan dan kerajaannya mengkritik keras serangan Israel ke atas Gaza dan sokongan Barat terhadap rejim Zionis.

Israel mengebom Gaza sejak serangan Hamas di selatan Israel sebulan lalu yang dikatakan meragut nyawa 1,400 orang dan menahan 240 tebusan.

Namun Pegawai Kesihatan Gaza berkata, serangan Israel membunuh lebih 10,000 rakyat Palestin, termasuk kira-kira 4,100 kanak-kanak.

Beratus-ratus ribu rakyat Turkiye turun ke jalan menyuarakan membantah terhadap operasi Israel di Gaza sejak sebulan lalu. – REUTERS

- Advertisement -