64 tahun Dewan Negara: Perubahan semakin perlu (Bah. 1)

- Advertisement -

MALAYSIA telah melewati 60 tahun penubuhannya dan telah mencapai kemerdekaan sejak daripada 1957. Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Dewan Negara merupakan salah satu cabang dari tiga cabang Parlimen selain daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Dewan Rakyat. Sejarah Dewan Negara bermula selepas kemerdekaan negara dan Pilihan Raya Umum 1959. Sidang pertama Dewan Negara bermula pada 11 September 1959 dengan 38 Ahli Dewan Negara. Namun begitu, Dewan Negara adalah kesinambungan daripada Majlis Perundangan Persekutuan, malah boleh dikatakan sebagai kesinambungan terus atau ‘true successor‘ kepada bentuk asal badan perundangan pra-kolonial iaitu ahli yang dilantik oleh kerajaan, wakil-wakil negeri dan wakil-wakil komuniti dan berkepentingan. Beberapa siri pindaan Perlembagaan telah mengubah komposisi Dewan Negara dengan komposisi terkini:

a. 2 wakil setiap negeri Persekutuan yang dilantik oleh Dewan Undangan Negeri.
b. 4 wakil Wilayah Persekutuan yang dilantik YDPA atas nasihat Perdana Menteri.
c. 40 wakil yang dilantik YDPA atas nasihat Perdana Menteri.

1. Penghakisan peranan wakil negeri.

Peringkat awal penubuhan Dewan Negara di Malaysia adalah mengambil konsep daripada Rajya Sabha di India iaitu Dewan Tinggi yang dipilih oleh Vidyan Sabha (istilah Dewan Undangan Negeri di India). Hal ini sebenarnya tidak menghairankan kerana beberapa anggota Suruhanjaya Reid merupakan bekas Hakim Kanan daripada India dan British Raj. 

Namun beberapa siri pindaan Perlembagaan telah mencairkan konsep ini. Peningkatan keahlian lantikan YDPA kepada 40 orang ahli telah mengurangkan kuasa dan peranan 26 orang wakil negeri-negeri dalam menggubal undang-undang negara. Ini seterusnya mengakibatkan beberapa Akta-akta yang diluluskan selepas siri pindaan Perlembagaan ini seolah-olah menghakis kuasa negeri dan memusatkan lebih banyak kuasa di tangan Kerajaan Persekutuan. Ini telah menyebabkan peranan dan kuasa negeri-negeri semakin berkurangan atas nama penyelarasan tanpa ada peluang yang berkesan untuk mereka menyuarakan mahupun menghalang hasrat Kerajaan Persekutuan.

2. Komposisi yang melemahkan peranan semak imbang.

Mengikut Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, Keanggotaan Dewan Negara. 

(2) Ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan orang asli.

Mengikut semangat asal Perkara 45 (2), kepelbagaian keahlian dalam Dewan Negara mampu memastikan proses penggubalan undang-undang menjadi lebih masak dan inklusif. Namun begitu, semangat asal Perkara 45 (2) ini sudah tidak dihayati sepenuhnya dengan pelantikan 40 orang Ahli Dewan Negara ini dilihat lebih bersifat partisan dan memberi kelebihan numerikal melampau kepada parti pemerintah untuk meluluskan Rang Undang-undang seperti yang telah diamalkan sebelum ini. Malahan lebih teruk lagi, Dewan Negara dijadikan sogokan dan tawaran kepada ahli-ahli politik untuk sentiasa mendukung dan memberi kerjasama kepada  agenda kerajaan.

Ini menyebabkan sesuatu undang-undang dilihat sekadar singgah di Dewan Negara dan seterusnya diluluskan dengan mudah. Hanya pernah terjadi sekali dalam sejarah Dewan Negara menolak RUU yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat iaitu Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018. Persepsi Dewan ‘rubber stamp’ ini sebenarnya telah menjejaskan kredibiliti Dewan Negara sebagai Dewan Tinggi dalam Institusi Parlimen Malaysia yang perlu diatasi dengan kadar segera.

Apakah Dewan Negara perlu terus dibiarkan keadaan sekarang atau reformasi segera perlu dibuat bagi memalar-segarkan Dewan Negara seiring transformasi Parlimen Malaysia sebagai badan yang legislatif yang bukan sahaja absah tetapi berkesan.

Bahagian dua artikel ini akan menyoroti beberapa penambahbaikan segera yang boleh dilakukan oleh Dewan Negara.

Bersambung…

MUHAMMAD SHAH MIZACK – HARAKAHDAILY 8/11/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0223Raz6XvVo51ZCJy2ohAiJvQDdvmEPhWTZEijfF5oUf2T6wMUvwxBMmxrt6cvVsvl&id=100067963077153&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -