Status siasatan dakwaan PN terima dana judi pada PRU15

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu dakwaan kononnya PERIKATAN NASIONAL (PN) menerima dana judi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan terhadap dakwaan itu susulan penampilan seorang saksi yang menyerahkan bukti pada bulan Mei yang lalu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat mengemukakan soalan itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Berikut ialah senarai soalan daripada ahli-ahli parlimen PN pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Perdana Menteri menyatakan mengapa terdapat penurunan yang drastik dalam peratusan rakyat keluar mengundi (PRU 13 : 84.84% , PRU 14 : 82.32%, PRU 15 : 74.7%) , bagi sesebuah negara demokrasi, pengundian merupakan suara rakyat dan hak rakyat untuk memilih jadi apakah usaha-usaha yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangani permasalahan ini.

Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz [Tanah Merah] minta Menteri Pertahanan menyatakan status terkini kerja-kerja pembaikan dan naik taraf 94 Hospital Tentera di Kem Terendak dan apakah bentuk kemudahan perubatan bersama bidang pakar yang ditawarkan di hospital berkenaan.

Tuan Zahari bin Kechik [Jeli] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan status liputan capaian internet 4G kepada 5G di kawasan pedalaman di Kelantan terutama di Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai.

Tuan Haji Mohd Hasnizan bin Harun [Hulu Selangor] minta Menteri Pertahanan menyatakan adakah Kerajaan berhasrat menilai semula pencen 21 tahun perkhidmatan untuk ATM memandangkan mereka masih muda dan mempunyai komitmen terhadap keluarga.

Datuk Wan Saifulruddin bin Wan Jan [Tasek Gelugor] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan:

(a) apakah yang dimaksudkan dengan isu 3R dan apakah undang-undang yang digunakan untuk mengawal isu 3R di platform media sosial dan majlis-majlis perbincangan awam; dan

(b) apakah butiran keputusan perbincangan Kementerian dengan syarikat penyedia platform media sosial dalam hal berkaitan kandungan yang menyentuh 3R.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Perdana Menteri menyatakan status penggubalan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama bukan Islam bagi Wilayah Persekutuan dan apakah Kerajaan berhasrat untuk membentangkannya di Parlimen dalam masa terdekat.

Tuan Zulkifli bin Ismail [Jasin] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan perkembangan rundingan dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi Telegram bagi mengekang jenayah keselamatan siber, pornografi dan penjualan barangan larangan.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah diambil untuk menangani isu warga asing memonopoli perniagaan di Kawasan bandar dan luar bandar.                  

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Menteri Komunikasi Dan Digital menyatakan berapa kos yang Kementerian bayar untuk pembelian Starlink dan adakah perbincangan dibuat bersama pakar-pakar berkaitan dasar keperluan dan kemampuan Starlink sebelum berunding dengan Elon Musk.

Tuan Mohd Azizi bin Abu Naim [Gua Musang] minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan status terkini pembinaan balai bomba dan penyelamat di Felda Chiku, Gua Musang sebagaimana yang telah diumumkan oleh Kerajaan terdahulu.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Perdana Menteri menyatakan:

(a) bilakah Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan yang dibuat oleh bekas peguam Negara Tommy Thomas dalam bukunya, “My Story: Justice in the Wilderness”; dan

(b) siapakah ahli yang akan dilantik dalam RCI tersebut dan apakah terma rujukannya.

Komander Nordin bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara) [Lumut] minta Menteri Pertahanan menyatakan rasional usaha pembangunan keupayaan industri pertahanan negara selama ini oleh pihak Kementerian Pertahanan apabila Kerajaan mengumumkan untuk memperolehi Kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 daripada Negara Turkiye sedangkan syarikat pembinaan kapal tempatan mampu untuk membina kapal jenis ini di dalam negara.

Tuan Haji Mohd Misbahul Munir bin Masduki [Parit Buntar] minta Perdana Menteri menyatakan mengapa pendakwah terkenal dunia Dr. Zakir Naik masih lagi tidak dibenarkan menyampaikan ceramahnya di negara ini dan apakah garis panduan jemputan para penceramah luar negara bagi menyampaikan ceramah-ceramah di negara ini.

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan berapa jumlah peneroka FELDA yang termasuk di dalam Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) dan bilakah jangkaan laporan menyeluruh itu dapat dibentangkan untuk maklumat umum.

Dato’ Dr. Alias bin Razak [Kuala Nerus] minta Menteri Luar Negeri menyatakan perkembangan rundingan jualan air mentah kepada Singapura.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Perdana Menteri menyatakan status siasatan terhadap dakwaan bahawa Perikatan Nasional menerima dana judi di dalam PRU15 tahun lepas susulan penampilan seorang saksi yang menyerahkan bukti pada bulan Mei yang lalu. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -