49 wartawan di Gaza terkorban dibom Israel

Rakan-rakan media dalam solat jenazah wartawan wartawan TV Palestin, Mohammed Abu Hatab serta 10 ahli keluarganya yang terkorban angkara serangan bom tentera Zionis Israel pada 2 Nov 2023. (FOTO: REUTERS)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Golongan wartawan terus menjadi mangsa kempen pengeboman Israel di Semenanjung Gaza susulan pembunuhan terbaharu dua orang wartawan menjadikan angka kematian meningkat kepada 49 orang.

Dalam kejadian terkini, wartawan Yahya Abu Munie dan Mohammad Abu Hasira terbunuh akibat serangan udara ke atas Gaza; malah apa yang menyedihkan, Abu Hasira pula terkorban bersama-sama 42 ahli keluarganya.

- Advertisement -

Pengeboman itu telah mensasarkan rumah Abu Hasira semalaman antara Ahad dan Isnin, lapor agensi berita WAFA pada Selasa.

Perkhidmatan akhbar Hamas, kumpulan yang memerintah Gaza itu melaporkan mayat Abu Hasira ditemui di bawah serpihan kediamannya.

Penggiat media yang membuat liputan perang Hamas-Israel sejak konflik tercetus pada 7 Okt lalu, sudah berada dalam situasi berbahaya; dan  kini dilihat sebagai sasaran utama serangan  tentera udara Israel.

Pada 2 Nov lalu, serangan udara Israel membunuh wartawan TV Palestin, Mohammed Abu Hatab serta 10 ahli keluarganya.

Sehubungan itu, WAFA menuduh Israel melakukan ‘pembunuhan yang disengajakan’ ketika ia mengebom rumah keluarga Abu Hatab  di Khan Younis di Gaza, di selatan wilayah itu.

“Begitu ramai wartawan membayar dengan nyawa mereka untuk membawa kebenaran kepada semua orang di Gaza,” kata Setiausaha Agung PBB, António Guterres sebelum ini ketika semasa menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga wartawan yang terbunuh.

Mohammad Abu Hasira terkorban bersama-sama 41 ahli keluarganya dalam serangan bom tentera Israel terhadap kediamannya di Gaza antara 5 Nov dan 6 Nov 2023. (FOTO: IFJ on X)

Terdahulu, Angkatan Tentera Israel (IDF) menghantar surat kepada saluran berita Reuters dan AFP, memberitahu bahawa keselamatan wartawan di lapangan perang Hamas-Israel adalah  tidak terjamin.

“IDF menyasarkan semua aktiviti ketenteraan Hamas di seluruh Gaza,” kata kenyataan itu. 

“Di bawah keadaan ini, kami tidak dapat menjamin keselamatan pekerja anda, dan kami sangat menggesa anda untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk keselamatan mereka.”

Pengarah berita global AFP, Phil Chetwynd, membalas surat itu dengan berkata, “Kami berada dalam kedudukan yang sangat tidak menentu, dan adalah penting untuk dunia memahami bahawa terdapat sekumpulan besar wartawan yang bekerja dalam keadaan yang sangat berbahaya.”

Sasaran terhadap wartawan melangkaui sempadan Palestin juga berlaku apabila tentera Israel membunuh wartawan Lubnan, Issam Abdallah pada 13 Okt lalu mendakwa dia dan wartawan lain yang bersamanya adalah pengganas. 

Wartawan TV Palestin, Mohammed Abu Hatab serta 10 ahli keluarganya terkorban dalam serangan udara tentera Israel pada 2 Nov 2023. (FOTO: A News)

Walau bagaimanapun, pertubuhan Reporters Without Borders mengatakan bahawa adalah ‘mustahil bagi (golongan wartawan) untuk disalah anggap sebagai pengganas’.

Terdahulu, Samir Ayoub, seorang lagi wartawan Lubnan, kehilangan empat saudara-maranya dalam serangan udara Israel ketika mereka menaiki dua buah kereta secara konvoi berhampiran sempadan Israel-Lubnan.

Anak saudara Ayoub, Huda Hijazi, tiga anak perempuannya dan nenek mereka Samira sedang menaiki kereta yang dipandu di belakang kereta yang dipandu Ayoub apabila ia terkena peluru berpandu Israel; dan hanya Huda yang terselamat dalam kejadian tragis itu.

Ketika jumlah kematian penduduk awam di Gaza melepasi angka 10,000 dan perang memasuki hari ke-32, Israel menggunakan pemadaman internet dan kempen pengebomannya yang berterusan untuk menyukarkan liputan berita mengenai kawasan yang dikepung di Gaza  untuk dilihat oleh dunia. – HARAKAHDAILY 8/11/2023

- Advertisement -