Ringgit susut: Fundamental ekonomi negara sudah terjejas

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyusutan nilai ringgit yang berlaku sejak kebelakangan ini menarik perhatian ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Bagi Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, penyusutan nilai ringgit itu menggambarkan fundamental ekonomi negara ini sudah terjejas.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu penyusutan mata wang Ringgit Malaysia.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada pihak Kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara bercadang untuk menambat nilai ringgit pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada tahun 1999.

Hal ini, ujarnya memandangkan kadar ringgit pada ketika ini rendah berbanding dolar Amerika.

Berikut ialah soalan daripada ahli-ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Muhammad Ismi bin Mat Taib [Parit] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk meningkatkan kelengkapan dan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani trend jenayah siber yang semakin canggih pada waktu ini.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat menyatakan berapa jumlah kanak-kanak bawah seliaan Institusi Kanak- Kanak JKM yang masih belum mendapat dokumen pengenalan diri.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan kesungguhan Kerajaan untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi memandangkan sasaran sumbangan PMKS kepada KDNK untuk tahun 2025 telah berkurangan kepada 41 peratus di dalam KSP, RMKe-12 daripada 45 peratus dalam RMKe-12 yang asal.

Tuan Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal [Machang] minta Menteri Kewangan menyatakan sama ada pihak Kerajaan Persekutuan melalui Bank Negara bercadang untuk menambat nilai Ringgit pada satu-satu nilai seperti yang dilakukan pada tahun 1999. Hal ini, memandangkan kadar ringgit pada ketika ini rendah berbanding US Dollar.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kementerian untuk mengatasi kadar kemalangan maut di jalan raya di seluruh Malaysia terutama di waktu puncak dan musim perayaan.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Menteri Kesihatan menyatakan hasrat Kementerian dalam membina klinik kesihatan dalam kawasan Baling, Kedah bagi memudahkan rakyat Baling yang kebanyakannya terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan di Sungai Petani, Kedah.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapakah jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang diproses sejak Disember 2022 hingga setakat ini (September 2023) dan dari jumlah berkenaan berapakah jumlah yang diluluskan. Juga minta dibuat perbandingan dengan jumlah kelulusan sebelum ini.

Datuk Haji Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim [Kuala Terengganu] minta Menteri Kewangan menyatakan langkah yang diambil oleh Kerajaan untuk menangani isu penyusutan mata wang Ringgit Malaysia memandangkan penyusutan ini menggambarkan fundamental ekonomi negara ini sudah terjejas.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Pengangkutan menyatakan:

(a) perkembangan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sehingga kini; dan

(b) sejauh manakah tenaga kerja tempatan terutamanya di negeri Kelantan telah dimanfaatkan dalam projek ini sehingga sekarang.

Puan Hajah Salamiah binti Mohd Nor [Temerloh] minta Menteri Kesihatan menyatakan:

(a) jumlah jawatan dan pengisian jawatan yang berkaitan perkhidmatan kesihatan mental di kesemua hospital dan klinik Kerajaan; dan

(b) tindakan Kementerian dalam memastikan akses yang mencukupi dapat diperolehi oleh rakyat bagi rawatan mental terutama dari segi jumlah doktor psikiatri, pegawai psikologi dan kaunselor berkemahiran bagi menangani peningkatan kes kesihatan mental di Malaysia.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan secara lengkap jumlah eksport minyak sawit Malaysia mengikut negara berdasarkan nilai RM dan jumlah tan. Apakah halangan-halangan terkini yang menghalang pengeksportan minyak sawit ke mana-mana negara di dunia.

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan status tindakan sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Februari 2023 yang bersetuju dengan cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua berkaitan memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Tuan Nurul Amin bin Hamid [Padang Terap] minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan berkenaan dengan status pengembalian semula geran penanaman semula kelapa sawit kepada pekebun kecil.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Kewangan menyatakan adakah terdapat usaha Kerajaan bagi mewujudkan semula cukai GST di dalam negara dan jika ianya benar dan berlaku, apakah mekanisme yang akan diguna pakai oleh Kerajaan bagi menjamin kestabilan harga barang agar tidak terus membebankan rakyat.

Tuan Roslan bin Hashim [Kulim Bandar Baharu] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kaedah yang terbaik untuk memberi hak mengundi kepada penghuni PUSPEN untuk turut mengundi dalam pilihan raya.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Pendidikan menyatakan strategi yang dilakarkan untuk memerangi ataupun mengurangkan peratusan isu keciciran pelajar menduduki SPM bagi tahun 2023 dan 2024 nanti berbanding tahun 2022. Selain itu, apakah usaha pihak Kementerian untuk menambah baik sukatan pelajaran yang sedia ada supaya ianya menjadi lebih komprehensif dan efektif sehala dengan peredaran masa.

Kapten Dato’ Dr. Zulkafperi bin Hanapi (Bersara) [Tanjong Karang] minta Menteri Kesihatan menyatakan kenapa tiada dasar Insuran Kesihatan Sosial Kebangsaan yang melibatkan tanggungan bersama pihak pekerja, majikan dan Kerajaan dalam pembiayaan kos rawatan perubatan dan kesihatan di dalam membangunkan Kertas Putih Kesihatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dapat diperkasa dan sustainable. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -