Nga Kor Ming cuba kata HAMAS itu pengganas?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemakaian kostum atau cosplay bersama senjata mainan oleh pelajar sempena Minggu Solidariti Palestin dilihat telah dijadikan isu secara pendirian berbeza oleh pihak pemimpin kerajaan.

Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menyelar label yang dinyatakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming daripada DAP terhadap pemakaian tersebut.

“(Dia menyatakan) sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme,” ujarnya menunjukkan kembali gambar dirujuk Nga ketika mengadakan sidang media khas di Parlimen sebentar tadi.

Persoal Afnan, jika pemakaian tersebut dirujuk Kor Ming dengan keganasan, tetapi tidak pula pemakaian seumpama dengan membawa replika senjata seperti pahlawan samurai Jepun di satu Sekolah Jenis Kebangsaan dijadikan isu.

“Kita tidak pernah persoalkan perkara-perkara ini dan tidak pernah merujuk perkara ini kepada perkara yang bersifat ganas. Tetapi apabila dia (Nga) menimbulkan bila kita pelajar kita berpakaian seperti pakaian pejuang HAMAS, dia mengatakan perkara itu sebagai ganas. 

“Apa yang dia nak sampaikan sebenarnya mesej itu? Adakah dia nak menyatakan bahawa pejuang HAMAS ni ganas, pengganas dan dia bercanggah dengan apa yang disebut oleh YAB Perdana Menteri dalam jawapan di Dewan Rakyat semalam.

“Kerajaan Malaysia bertegas menyatakan HAMAS bukan pengganas. Jadi kenapa Perdana Menteri kata HAMAS bukan pengganas, tetapi Menteri di bawah Perdana Menteri dalam Kabinet yang sama, mengatakan berpakaian menyerupai HAMAS ini seorang pengganas. 

“Kenapa ada dua kenyataan yang berbeza. Tak sepakatkah kerajaan dalam isu ini? Saya percaya guru-guru mendidik anak-anak murid mereka untuk memakai pakaian kostum ataupun cosplay seperti ini, termasuk juga ketika Hari Kemerdekaan.

“Pakaian seperti tentera, pegang senjata mainan, bukan untuk menunjukkan keganasan, tapi untuk memupuk, cintakan kepada negara, memupuk rasa kebersamaan dengan orang-orang di Palestin yang dizalimi,” ujarnya. 

Ketua Pemuda PAS Malaysia itu menegaskan, isu Palestin bukan hanya isu agama, tetapi juga isu manusiawi di mana terdapat juga warga Kristian di Gaza turut membantah tindakan Israel. 

Sehubungan itu, beliau menggesa kefahaman Nga Kor Ming terhadap perkara tersebut dibetulkan memandangkan persepsi sedemikian tidak harus berlegar dalam kalangan rakyat apatah lagi bercanggah pendirian kerajaan. – HARAKAHDAILY 1/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -