KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek digesa memberi penjelasan berhubung pelaksanaan dan larangan bagi penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah yang dinotiskannya kelmarin.
Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, dalam perkara ke enam siaran tersebut dinyatakan untuk kempen seimbang tanpa memaparkan hanya satu pihak sahaja.
“Sedangkan dalam Minggu Solidariti Palestin ini, pendirian kita jelas untuk mendukung dan menyokong perjuangan rakyat Palestin. Jadi satu pihak yang lain ialah Israel. Palestin lawan Israel.
“Jadi kalau imej yang nak dipaparkan itu seimbang, adakah pihak sekolah, ataupun pihak pelajar kena juga memaparkan imej Zionis-Israel? Adakah begitu yang dimaksudkan?” ujarnya pada Sidang Media Khas di Parlimen, tadi.
Tegasnya, tujuan penganjuran tersebut adalah untuk menyokong Palestin dan bukannya kedua-dua pihak kerana jika demikian ia menunjukkan bahawa negara tidak mempunyai pendirian tegas mengenai perkara itu.
Ketua Pemuda PAS Malaysia itu turut memaklumkan, soalan sama telah dikemukakan beliau bagi dijelaskan pada Masa Jawapan Menteri yang dijadualkan di Dewan Rakyat, esok.
Afnan turut membangkitkan aduan daripada pihak guru yang tular di media sosial mendakwa pihak sekolah mendapat arahan tidak dibenarkan bertakbir, membuat baca doa dan memakai mafla serta bendera Palestin. – HARAKAHDAILY 1/11/2023
‘Pelajar sekolah kena papar imej Zionis-Israel juga?’
Afnan gesa jawapan Fadhlina
- Advertisement -