KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan tentang sejauh mana kerangka perundangan telah mencukupi dalam memberi kuasa kepada PDRM untuk menangani kes-kes jenayah siber yang semakin berleluasa di Malaysia.
Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berkata, kes-kes jenayah siber yang berlaku sebelum ini termasuklah Macau Scam, jenayah E-Dagang dan berbentuk pinjaman yang tidak wujud.
Katanya, pada masa ini ada terdapat lagi pelbagai jenayah siber seperti penipuan cinta (love scam), pemancingan data (data fishing), pembulian dalam talian (cyber bully) dan penggodaman (hacking).
“Soalan saya, sejauh manakah pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dilengkapi dengan kemahiran teknikal paling terkini dalam menangani (kes-kes) jenayah siber pada ketika ini?
“Adakah kerangka perundangan pada ketika ini telah memberi kuasa yang mencukupi bagi PDRM dalam menangani jenayah siber ini?” katanya pada Sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau juga mempersoalkan sejauh manakah cabang digital forensik PDRM telah dipertingkatkan di negara ini dalam menganalisis dan memelihara bukti kes-kes jenayah siber yang berlaku sekarang.
Menjawab soalan-soalan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyatakan, tahap kepakaran dan pengetahuan dalam kalangan anggota-anggota PDRM akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa termasuklah melalui kursus-kursus sama ada dalam ataupun luar negara.
“Walaupun kerangka perundangan pada ketika ini telah memberi kuasa yang mencukupi kepada PDRM dalam menangani jenayah-jenayah siber tetapi saya setuju ruang dan keperluan untuk kita tambah baik kerangka perundangan yang diperlukan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau menegaskan, PDRM juga akan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam memperkasakan kemudahan-kemudahan terutamanya makmal forensik dan unit digital forensik sebagai peneraju dalam melakukan siasatan terhadap kes-kes jenayah siber. – HARAKAHDAILY 1/11/2023