PAS perlu ‘blueprint’ ambil alih Kerajaan P Pinang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemilihan Ahli Parlimen dan ADUN dalam kalangan mereka yang tidak memahami dan menghormati ajaran Islam boleh dianggap sebagai satu ancaman kerana mereka akan menjadi penggubal undang-undang.

Perwakilan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mat Jan berkata, hal tersebut akan menyebabkan keselarasan dengan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan di peringkat negeri tidak dapat dilakukan.

Sebaliknya beliau menyuarakan kebimbangan berlaku percanggahan dan pertentangan yang berpunca daripada ajaran sekular dan liberal, apatah lagi jika pihak tersebut menguasai dua pertiga majoriti Dewan.

“Dalam negeri Pulau Pinang khususnya kami hari ni berhadapan dengan DAP dan saya rasa di Malaysia ini negeri yang paling kuat DAP adalah di negeri Pulau Pinang dan DAP masih mengekalkan penguasaan dua pertiga majoriti,” ujarnya.

Beliau memaklumkan antara ancaman tersebut dapat dilihat juga dari segi pemilikan tanah oleh orang Melayu di negeri tersebut ketika membahas Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC, di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, kaum lain bukan sahaja menguasai pemilikan tanah, tetapi juga kalangan syarikat besar telah membeli tanah-tanah diduduki orang Melayu sebelum itu menyebabkan pemilikan Melayu semakin berkurang.

“Saya mohon PAS Pusat merangka satu blueprint khusus untuk kita mengambil negeri Pulau Pinang. DAP mencuba dengan Tanjung Satu, Tanjung Dua, Tanjung Tiga dan seterusnya baru berjaya mencapai kejayaan. 

“Kita mengharapkan kalaulah kita tidak berjaya dalam PRU15, boleh jadi PRU16 atau PRU17. Kalau tak tak boleh, (maka) PRU18 dan seterusnya, itu yang mana yang lebih baik. Pusat yang buatkanlah untuk Pulau Pinang,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan supaya kerusi di wilayah yang diduduki majoriti orang Islam tidak semudah-mudahnya diserahkan kepada calon lain. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -