Mereka yang tidak wala’ dicampak keluar atau melompat keluar

Tuan Guru Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC, Shah Alam, Selangor pada hari ini, 20 Okt 2023 (FOTO: HARAKAHDAILY/J Kemala)
- Advertisement -

SHAH ALAM: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kaedah untuk mengisi kemenangan telah dihuraikan dalam ayat yang menyatakan ciri-ciri sebuah kerajaan yang berkuasa.

- Advertisement -

Hal itu, ujarnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “(Mereka itu) orang-orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan ingatlah kepada Allah jua kembali segala urusan.” [Surah al-Hajj: 41]

Beliau menjelakan, ciri-ciri tersebut ialah bersifat rabbani, yakni sentiasa berhubung dengan Allah dengan mendirikan solat, menegakkan ekonomi yang adil bertonggak kepada zakat, diikuti dengan muamalat ekonomi yang lebih luas dalam masyarakat majmuk di bawah pentadbiran Islam, melaksanakan amar ma‘ruf (berkebajikan) dengan makna yang luas dalam seluruh cara hidup dan melaksanakan nahi munkar dengan mendaulatkan syariat yang mendidik dan mempunyai kehebatan.

Katanya, amar makruf dan nahi munkar menjadi tonggak kepada kedaulatan negara di mana kedua-duanya merupakan aspek yang tidak boleh berpisah.

“Maka, kumpulan yang memisahkannya atau tidak menyempurnakannya adalah tidak memenuhi sifat kumpulan Islam dan tidak memenuhi sifat sebuah negara Islam,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-69 di IDCC di sini, hari ini.

Beliau juga menggesa diperkasakan PAS berlandaskan prinsip istiqamah di atas aqidah perjuangan.

Tambahnya, tempuhi perjalanan ini dengan penuh kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran bagi mengisi kemenangan tersebut, seterusnya melangkah ke hadapan untuk mencapai kemenangan yang lebih besar dan sempurna.

Ini, jelasnya seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT apabila memenuhi syarat-syarat kemenangan melalui firman-nya yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaranmu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan), serta tetaplah bersiap siaga (dengan kekuatan pertahanan di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu berjaya (mencapai kemenangan)”. [Surah Ali ‘Imran: 200]

Jelasnya lagi, ciri-ciri kemenangan yang disebutkan dalam ayat al-Quran itu ialah beriman, bersabar menghadapi ujian terhadap diri, bersabar menghadapi musuh dan melaksanakan tugas (ribat) di tempat dan lapangan masing-masing, serta bertaqwa kepada Allah.

Selain itu, kata beliau wajib taat dan wala’ kepada jemaah.

Menurutnya lagi, wala’ kepada Allah dan Rasul wajib diberikan secara mutlak, manakala wala’ kepada para pemimpin diberikan kepada pemimpin yang beriman dan beramal soleh, berpandukan baiah generasi awal di hadapan Rasulullah SAW yang bersabda, maksudnya: “Berbaiahlah (berjanji taat setia) kalian kepadaku untuk mematuhi perintah atau arahan di masa cergas atau malas. Memberi sumbangan harta di masa senang dan susah. Melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar. Menegakkan perintah Allah tanpa peduli celaan orang. Menolong aku apabila aku tiba ke negeri kamu, dan mempertahankan aku daripada musuh sepertimana kamu mempertahankan diri kamu, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, nescaya Allah menjanjikan syurga kepada kamu”. [Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 14456, dan Ibn Hibban, Sahih Ibn Hibban, Kitab al-Tarikh, No. 6274, daripada Jabir bin ‘Abdillah]

“Allah SWT menyelamatkan jemaah parti ini apabila mereka yang tidak wala’ dicampak keluar atau melompat sendiri keluar kerana kepanasan dengan kebatilannya.

“Saya juga berpesan supaya jangan bersikap memilih untuk memberi ketaatan kepada arahan parti kerana penyakit ini boleh menjadi penghalang kepada kemenangan dan menyukarkan tugas mengisi kemenangan,” katanya.

Tambahnya, program pemerkasaan pentarbiahan syakhsiah dan jati diri pemimpin dan ahli adalah amat penting bagi memudahkan perjalanan parti dalam mencapai kemenangan dan mengisi kemenangan.

Beliau menjelaskan, pemimpin dan ahli mesti mendalami ilmu Islam secara tafaqquh fi al-din (berilmu dan bijak memahaminya), mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna, faham dan tidak tenggelam dalam perbahasan furu‘ (perkara cabang) yang mencetuskan masalah khilafiah (pertelingkahan) sehingga menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam parti dan masyarakat.

Adapun PAS, ujarnya masih beristiqamah dengan Islam yang satu, teguh berprinsip dan mampu menghadapi cabaran dan situasi yang berubah, tanpa terpengaruh dan menumpang jenama teori lain yang dipecahkan kepada ortodoks, konservatif, liberal, ekstrem dan lain-lain.

Umat Islam, tegasnya diharamkan berwala’ kepada golongan bukan Islam tetapi, diizinkan kerjasama bertahaluf dan lain-lain tanpa melanggar prinsip dan sempadan perjuangan Islam. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -