Dewan Ulamak jadikan PAS sentiasa relevan

Mohd Amar Abdullah
- Advertisement -

SHAH ALAM: Anggota Dewan Ulamak PAS perlu berterusan menggali ilmu agar mampu berijtihad menterjemahkan prinsip-prinsip Islam secara realistik dan praktikal sekali gus membantu pemerintahan kerajaan.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah berkata, skeptikal masyarakat yang masih melihat golongan ulamak hanya tahu bercakap soal halal dan haram mesti diperbetulkan.

Menurut beliau, para ulamak sejak zaman silam dari segi pemikiran telahpun mendahului ke hadapan sebagaimana dapat dilihat perbahasan di dalam kitab turath misalnya membahas fiqh perkahwinan.

Kata beliau, syarat diletakkan mesti lelaki dan perempuan sedangkan sememangnya perkahwinan itu mesti berlaku antara dua jantina, rupanya di zaman ini timbul isu perkahwinan sejenis oleh golongan LGBT.

Malah ujarnya, terdapat perbahasan mengenai perkahwinan manusia dengan lembu hingga melahirkan anak dan dipersoal mengenai penyembelihan anak tersebut juga menunjukkan perkara sedemikian boleh terjadi.

“Akan berlaku makna jauhnya hukum-hukum yang kita panggil istirodi ini sudah dibincang dalam kitab. Maknanya apa isu pun dalam kehidupan ini sudah pun dibincang, jadi selesaikan ulamak kita. 

“Tinggal apa yang ada pada kita hari ini ialah bagaimana menggali menggali ilmu-ilmu yang ada dalam kitab ini dan melihat dalam konteks semasa. Melihat dalam perspektif yang ada pada hari ini.

“Bagaimana dasar-dasar, isu-isu yang dibincang itu boleh kita terjemahkan dan boleh digunakan untuk menyelesaikan hal ini. Bukan suruh ambil 100 peratus kita ciplak. Sebab ulamak ini dia berfikir bercakap dalam zaman dia. Ada pandangan-pandangan itu yang terlalu ideal. 

“Yang mungkin kita tidak boleh bawa kepada zaman kita. Tapi Dewan Ulamak inilah yang mesti memainkan peranan ini,” ungkap beliau berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat di IDCC, di sini hari ini.

Begitu juga katanya, terdapat perbahasan masa lalu misalnya mengenai pentadbiran negara Islam oleh Imam Al-Mawardi di mana dikritik kerana meletakkan ciri pelantikan yang hampir mustahil diadakan.

Oleh itu menurut beliau, ia perlu diperbahaskan dalam konteks semasa dan negara ini bagi mendapat perspektif yang realistik dan praktikal serta rumusan konklusif untuk diguna pakai dalam politik negara.

Demikian itu juga serunya, anggota Dewan Ulamak mesti memahami isu dan memahami perkara perlu dibincangkannya hingga mampu mengemukakan alternatif Islam terhadap pelbagai masalah dalam masyarakat.

“Dewan Ulamak ni memainkan peranan memberi input-input akademik supaya kita boleh bergerak walaupun inilah pembangunan ataupun kerajaan yang ditadbir dengan dasar Islam. Itu yang paling penting yang saya rasa itu.

“Tetapi nak sampai tadi macam Ketua Dewan Ulamak sebut, kita kena ada ilmu. Ilmu pula ilmu yang mantap, jangan kita tahu sikit-sikit,” ujarnya mengajak mengambil kesungguhan Imam Al-Ghazali dalam mendepani cabaran falsafah di zamannya.

Jelas beliau yang juga Speaker DUN Kelantan, usaha Dewan Ulamak sedemikian itu akan menjadikan PAS sentiasa relevan di mana sahaja dan pada bila-bila masa juga. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -