ANCAMAN kebendaan
Kebendaan atau materialism merupakan ancaman jiwa umat akhir zaman. Hadis-hadis Nabi S.A.W mengenai akhir zaman banyak menggambarkan fitnah Dajal berupa isu-isu kebendaan.
Hari ini mereka yang menawarkan kebendaan, berpotensi meraih pengaruh. Antara perkara-perkara yang berkaitan dengan kebendaan ialah:
▪️Rasuah, sogokan, komisen dan sebagainya yang mencairkan jati diri umat akhir zaman. Prinsip dan pendirian boleh berubah disebabkan termakan dengan ramuan-ramuan ini. Menyebabkan berlakunya penyelewengan dan penipuan yang berleluasa.
▪️Tekanan jiwa umat akhir zaman antaranya disebabkan tayangan kebendaan di media sosial. Media sosial hari ini menjadi instrumen menayangkan kebahagiaan yang ada, kekayaan, dan sebagainya. Secara tak langsung ia memberi kesan terhadap jiwa orang lain yang tidak memilikinya.
Gambaran ini menjelaskan bahawa kebendaan yang dikejar di dunia hanya sementara. Allah S.W.T menggambarkan nikmat yang sementara ini dengan tanaman yang subur, lalu akhirnya hancur bersepai:
اعْلَمُوا أَنَّمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِي الْأَمْوَالِ وَالْأَوْلَادِ ۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ الْكُفَّارَ نَبَاتُهُ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَاهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَامًا ۖ وَفِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٌ ۚ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”
(al-Hadid: 20)
Tekanan hidup
Hari ini sektor ekonomi berubah dalam skala yang besar. Tauke-tauke ada yang bungkus. Peniaga kecil apatah lagi. Aliran tunai agak ‘stuck’. Masing-masing berhadapan situasi yang getir lagi sukar.
Harga barang keperluan yang meningkat. Mereka yang dibebani dengan loan yang berdarah daging daripada sistem kapitalisme, agak sukar untuk survive melepaskan diri daripada belenggu ini.
Kalau pada masa ini saya kemukakan sistem Islam sebagai solusi untuk meredakan isu kemiskinan, rasanya akan dibebali dengan ayat ‘tidak realistik’.
Bunuh diri
Bunuh diri pula turut menjadi isu hangat. Boleh jadi disebabkan lemahnya daya fikir. Apabila seseorang itu telah dibiasakan dengan hiburan, dengan kesenangan, minta apa sahaja semua bapa yang bagi, secara tak langsung akan melemahkan daya fikirnya.
Contohnya, tak perlu fikir bagaimana nak cari makan, kerana bapa bagi duit belanja. Nak motor, bapa belanja. Nak enjoy, mak tolong bagi duit. Nak handphone juga mak yang belanja.
Orang yang dimanjakan seperti ini tidak dibiasakan untuk survive hidup. Lalu, apabila mereka dihurung dengan masalah yang berat, akal mereka tidak mampu berfikir untuk mencari jalan penyelesaian.
Jadi, mereka memilih jalan singkat dengan membunuh diri. Justeru, cuba fikirkan bagaimana nak meningkatkan daya fikir anak muda. Kurangkan hiburan, dan lasakkan otak mereka untuk berfikir.
Menghayati al-Kahfi
Justeru, saya cuba kongsikan sedikit dari sudut pengurusan jiwa ketika mana berhadapan dengan krisis. Fokus lebih kepada ayat 6 dan 7, seterusnya ayat 8 daripada Surah al Kahfi:
فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا
“Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini.”
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلً
“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”
Nabi S.A.W pernah diuji dengan tekanan jiwa, lalu Allah S.W.T datangkan satu kaedah pengurusan jiwa. Kaedah itu disebut pada ayat ke 7, iaitu dengan mengeluarkan diri dari kongkongan berfikir cara materialisme, kepada kehidupan berspiritual.
Rasa bertuhan
Sistem Barat yang terbina sejak zaman Renaissance sangat memberi fokus kepada pembentukan akal dan pembinaan tamadun, sehingga terabai sudut elemen kerohanian (roh).
Dengan kata lain, material ataupun kebendaan yang meresap di dalam jiwa manusia, menjadikan manusia semakin hanyut daripada hidup beragama, dan semakin hilang rasa bertuhan.
Allah S.W.T buktikan secara zahir mengenai kewujudanNya dengan kuasa-kuasa yang hebat melalui penciptaan alam, dan penciptaan manusia.
Ia sebagai tanda bahawa manusia perlu sedar bahawa Allah itu ada! Rasa bertuhan ini perlu disemai, kerana ia berada di sebalik material, tidak terlihat dengan mata kasar.
Justeru, untuk menyemai rasa bertuhan ini, perlu dengan melihat kebesaran Allah S.W.T dengan hati. Deria hati perlu dibuka, dan digunakan untuk menerjah alam di sebalik material. Semata-mata untuk mengenali mengenai tuhan, dan kekuasaan-Nya dalam mencatur alam semesta.
Kebendaan yang berakhir
Bahkan, kehancuran alam dan segala fenomenanya merupakan bukti kekuasaan-Nya, dan menjadi bukti bahawa material yang dikejarkan itu hancur bila sampai masanya. Allah S.W.T berfirman dalam ayat 8:
وَإِنَّا لَجَاعِلُونَ مَا عَلَيْهَا صَعِيدًا جُرُزًا
“Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.”
Allah S.W.T fahamkan kepada kita bahawa segala material yang melorongkan kita kepada tekanan jiwa ini, semuanya berakhir dengan kehancuran. Segala kemewahan yang dikejar manusia, akan berakhir dengan kubur. Kereta mewah sampai satu masa akan menjadi besi buruk. Rumah yang besar tidak boleh dibawa ke akhirat, kubur yang sempit itu yang akan kita diami.
Membasahi kekontangan jiwa
Kefahaman-kefahaman seperti ini Allah S.W.T ajarkan kepada kita supaya dijadikan method untuk mengurus jiwa.
Iaitu bermula dengan membebaskan minda kita daripada belenggu material, kepada dunia spiritual. Kemudian, jadikan spiritual itu sebagai jalan keluar daripada krisis.
Allah S.W.T berfirman dalam Surah at Talaq;
وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ….
“… dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…”
Rasa bertuhan, akan menimbulkan hati yang tenang dan meletakkan pengharapan penuh kepadaNya. Orang seperti ini, Allah S.W.T berjanji akan memberikan kepadanya jalan keluar kepada krisis yang sedang dihadapinya.
MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 18/10/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!