JAKIM dibebani percepatkan pensijilan halal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) menyuarakan kebimbangan dengan bilangan kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memenuhi tuntutan pensijilan halal yang mesti dilakukan dalam tempoh 23 hari bekerja.

Beliau berkata, JAKIM hanya mempunyai 171 orang kakitangan Bahagian Pengurusan Halal yang bertanggungjawab bagi urusan kelulusan pensijilan halal dan bidang lain yang berkaitan seperti tindakan perundangan.

- Advertisement -

“Saya fikir dan kita meletakkan sasaran 23 hari bekerja untuk mendapatkan kelulusan. Ini suatu bebanan yang besar kepada kakitangan dan realiti di bawah sekali ialah saya mendapat aduan, ia terlalu lambat untuk mendapat kelulusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Berikutan itu, Timbalan Presiden PAS meminta penjelasan, iaitu sama ada kerajaan tidak bercadang untuk menambah kakitangan dan menyediakan skim khas kepada kakitangan JAKIM yang mengendalikan urusan halal.

Selain itu, beliau mencadangkan mekanisme di luar negara perlu dimantapkan supaya status halal JAKIM yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dapat dikekalkan.

“Apakah mekanisme yang diimplikasikan kepada syarikat luar negara untuk memastikan standard keperluan halal di Malaysia dapat dipatuhi dan sejauh mana penglibatan Pusat Pembangunan Halal (HDC) untuk menyediakan modul ini,” katanya.

Dalam soalan asal, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan tidak berhasrat untuk meningkatkan keupayaan JAKIM dengan menambah kakitangan yang berkepakaran, kemudahan serta teknologi terkini dalam mengesan bahan digunakan yang diselidiki setelah Persijilan Halal Malaysia diterima di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Mohd Na’im mengakui 171 kakitangan di Bahagian Pengurusan Halal adalah jumlah yang tidak memadai dengan tugas yang dipikul oleh bahagian itu.

Beliau berkata, JAKIM sedang berusaha menambah kakitangan Bahagian Pengurusan Halal yang mengalami kekurangan pekerja dan perbincangan telah dilakukan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menangani masalah itu. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -