Solat ketika Tatu: Exco Terengganu ucap terima kasih

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi mengucapkan terima kasih kepada rakyat negeri Terengganu yang sensitif berhubung program Tatu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa, Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri itu, isu yang berbangkit ialah ada segelintir pengunjung yang hadir difahamkan tidak menunaikan solat ketika waktu Maghrib dan Isyak.

Katanya, tidak ketinggalan, dalam masa yang sama, sebilangan besar pengunjung yang hadir ada juga kelihatan mendirikan solat walaupun dalam keadaan kesesakan lautan pengunjung yang hadir.

“Sikap individu rakyat Terengganu seperti ini amatlah patut diberi pujian kerana memahami akan tanggungjawab sebagai seorang Muslim menunaikan kefarduan solat tanpa mengharapkan alternatif dari mana-mana pihak dalam menunaikan kewajipan solat itu,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Terima kasih kepada rakyat negeri Terengganu secara umumnya dan kepada saudara Sukri Sulaiman production khususnya yang perihatin dan sensitif dalam memberi pendapat dan pandangan dalam perkara yang memberi penambahbaikan kepada perjalanan aktiviti dan program yang berlangsung di negeri Terengganu ini terutamanya program Tatu yang berlangsung baru-baru ini yang mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran pengunjung yang ramai membanjiri Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Isu yang berbangkit ialah ada segelintir pengunjung yang hadir difahamkan tidak menunaikan solat ketika waktu Maghrib dan Isyak. Tidak ketinggalan, dalam masa yang sama, sebilangan besar pengunjung yang hadir ada juga kelihatan mendirikan solat walaupun dalam keadaan kesesakan lautan pengunjung yang hadir. Sikap individu rakyat Terengganu seperti ini amatlah patut diberi pujian kerana memahami akan tanggungjawab sebagai seorang Muslim menunaikan kefarduan solat tanpa mengharapkan alternatif dari mana-mana pihak dalam menunaikan kewajipan solat itu.

Tempat wuduk dan ruangan solat sememangnya sudah ada disediakan bagi tujuan kemudahan kepada para pengunjung yang hadir bagi program tersebut. Bahkan ianya suatu kelaziman yang berlaku dari sesi penggal yang lalu terutama bagi memberi kemudahan dalam program-program seperti ini contohnya penganjuran perlawanan bola sepak. Pihak kerajaan negeri Terengganu telah mula menerapkan pada sesi penggal yang lalu lagi dengan menghidupkan solat fardu secara berjamaah di lokasi program terutamanya bagi anak-anak muda yang hadir.

Namun, program Tatu yang berlangsung baru-baru ini ada sedikit terlepas pandang oleh pihak kerajaan untuk mengambil perjalanan secara berfokus dalam perkara ini dengan harapan para pengunjung sedia memahami apa yang sepatutnya masing-masing lakukan dalam perkara menunaikan tanggungjawab kewajipan solat ke atas setiap individu Muslim. Bahkan sebelum ini para pengunjung sedia mampu menguruskan pergerakan mereka dalam menunaikan kewajipan solat terutama pada ruangan stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan di situ.

Dengan adanya isu seperti yang dibangkitkan oleh saudara Sukri Sulaiman itu, pihak kerajaan negeri melihat ianya suatu perkara yang serius, bahkan pihak kerajaan akan mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang kembali dalam mencapai matlamat slogan ‘Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera’ di samping pada penggal ini usaha di bawah portfolio Exco Dakwah Penerangan dan Perlaksanaan Syariah mengambil pendekatan melalui penerapan penghayatan dengan pegangan ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ bagi mendukung hasrat dalam mencapai maksud slogan ‘Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera’. – HARAKAHDAILY 8/10/2023

- Advertisement -