N.36 Pelangai kekal Umno-BN atau beralih ke PAS-PN?

- Advertisement -

PRK N.36 Pelangai mungkin dianggap terpencil atau tidak dikisahkan oleh kebanyakan orang. Apatah lagi rakyat Malaysia sudahpun melalui PRU15 pada November tahun lalu dan PRN di enam negeri pada Ogos baru-baru ini. Hal memilih atau memandatkan pentadbiran pemerintahan kerajaan bagi satu penggal atau 5 tahun sekali mungkin sudah dianggap selesai.

Tetapi PRK N.36 Pelangai boleh menjadi petunjuk ‘trend’ dan ‘mood’ semasa rakyat kepada politik. Kerana ia berlaku di bumi Pahang pasca-PRU15 yang mana telah berjalan serentak pengundian kerusi Parlimen dan DUN ketika itu. Bermakna PRK N.36 Pelangai adalah satu fasa tambahan dan baharu kepada ukuran atau perkembangan politik Pahang khususnya dan negara amnya.

Lebih unik, Pahang adalah negeri yang kekal kepada Barisan Nasional (BN) bersama Perlis pasca-PRU14 tahun 2018 dahulu. Iaitu ketika BN yang diketuai Umno rebah tersembam dari takhta Kerajaan Persekutuan setelah lebih 60 tahun di tampuk kuasa. Pemerintahan negara buat pertama kali beralih teraju kepada Pakatan Harapan (PH) yang ketika itu dianggotai BERSATU, PKR, DAP dan PAN.

Ketika itu, daripada 42 kerusi DUN Pahang, BN masih menguasai majoriti 25 kerusi, manakala PH meraih kemenangan di 9 kerusi dan PAS di 8 kerusi. Berbanding PRU13 tahun 2013 sebelum itu, BN menang 30 kerusi DUN. Bererti ketika BN sudah terkulai di Pusat dan kebanyakan negeri, Pahang masih bertahan menjadi kubu buat komponen yang diketuai Umno itu.

Umno-BN semakin ‘hilang’

Namun, dengan dua negeri tersebut bagaikan petanda batu nisan buat BN, akhirnya parti itu berkubur terus dari DUN Perlis pasca-PRU15 digantikan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS. Menariknya, dengan pertembungan PRU15 tahun 2022 itu dilihat cukup ketara antara PN dengan PH, sementara kem BN gagal menarik perhatian, tetapi BN masih menang 17 kerusi DUN Pahang.

Pun demikian, angka kerusi dimenangi BN itu sebenarnya kemerosotan terburuk hingga merobohkan Kerajaan BN hilang terus dari peta Malaysia. PN pula menerima lonjakan besar menang di 17 kerusi DUN, manakala baki 8 kerusi lagi diperolehi PH. Malangnya, Umno-BN yang gagal mendapat majoriti mudah, memilih bekerjasama dengan PH yang didominasi DAP menubuhkan kerajaan.

Ia sama seperti di Perak di mana BN terperosok teruk ekoran hanya menang di 9 kerusi DUN telah mengadakan kerjasama dengan PH yang didominasi DAP. Sedangkan mereka mempunyai pilihan untuk bersama PN yang menang 26 kerusi daripada 59 kerusi DUN Perak. Rundingan PN diketuai PAS dengan BN dipimpin Umno di kedua negeri itu gagal mencapai persetujuan bagi membentuk kerajaan.

Sedangkan jika Umno bersetuju, sudah tentu Kerajaan Melayu-Islam dapat ditubuhkan di kedua negeri itu dan merupakan terkuat di Pahang atas majoriti besar yang ada. Tetapi itulah bukti khianatnya Umno kepada orang Melayu-Islam dan melanggar sumpah ‘No Anwar, No DAP’ yang diikrarkan pemimpin mereka. Ia juga bukti bahawa pemimpin utama Umno ketika inilah yang sebenarnya tidak mahukan kepada agenda Penyatuan Ummah.

Rekod yang dileburkan

Menyoroti sejarah keputusan PRU-PRU terdahulu, diakui sememangnya komponen diketuai Umno itu cukup kuat menguasai DUN Pahang. PRU Pertama bagi penggal tahun 1959-1964, hanya ada satu pembangkang daripada 24 kerusi DUN. Komponen bernama Perikatan di waktu itu, bagaimanapun menang di semua kerusi pada PRU2 penggal tahun 1964-1969.

Tetapi pada PRU3 (1969-1974), empat DUN dimenangi pembangkang. PRU4 (1974-78) di mana BN mula terbentuk dan menang di semua 32 DUN diwakili Umno (23), MCA (7), PAS (1) dan GERAKAN (1). PRU5 (1978-1982), BN yang dianggotai Umno, MCA dan MIC menang di semua DUN. PRU6 (1982-86), DAP menang di N.31 Triang dan pada PRK N.16 Bandar Raub 4 Jun 1983 merampas kerusi itu daripada MCA-BN. 

DUN Pahang bertambah satu kerusi pada PRU7 (1986-1990) yang menyaksikan BN menguasai 32 DUN, sementara DAP di N.07 Teras. Gelombang Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dianggotai PAS, S46 dan BERJASA yang menang besar PRU8 (1990-95) di DUN Kelantan, bagaimanapun tidak melanda DUN Pahang. APU-S46 dan Gerakan Rakyat-DAP masing-masing hanya mendapat satu kerusi. 

DAP bagaimanapun kekal menang di kerusi N.33 Teriang pada PRU9 (1995-99) di mana DUN Pahang berjumlah 38 kerusi ketika itu. PRU10 (1999-2004) pula dimenangi BN di 30 DUN, manakala Barisan Alternatif (BA) menerusi PAS (6), DAP (1) dan PKR (1). Pada PRU11 (2004-08), DUN Pahang bertambah kepada 42 kerusi dengan pembangkang hanya menang di N.38 Triang iaitu dari DAP. 

Pada PRU12 (2008-2013), Pakatan Rakyat (PR) menang menerusi PAS (2), serta DAP (2), tetapi pada PRU13 (2013-2018) tembok DUN Pahang yang dikuasai BN mula mendapat keretakan besar. Ia apabila PR menang menerusi DAP (7), PAS (3) dan PKR (2), diikuti PRU14 (2018-2022) di mana BN kegagalan mendapat majoriti dua pertiga. PH menang DAP (7) dan PKR (2), sementara Gagasan Sejahtera (GS) menang menerusi PAS (8).

Indikator politik rakyat

PRU15 lalu hadir setelah rakyat negara ini melalui ‘pengalaman’ perit lebih 60 tahun di bawah BN dan 22 bulan penuh ancaman diperintah rejim PH. Manakala kaum Melayu-Islam khususnya dikembalikan ke landasan Penyatuan Ummah.

Maka, Pahang sememangnya signifikan untuk dijadikan indikator menilai sokongan rakyat atau pilihan pengundi. Dengan komposisi penduduk dan kerusi yang diwakili Melayu, Pahang boleh dianggap mewakili situasi semasa negara.

Kerana di negeri ini dapat diukur sebanyak mana sokongan masih bersisa kepada BN di posisi ia masih memerintah. Atau sokongan benar-benar telah beralih arah kepada PN menjadi satu gelombang besar sebagaimana diperkatakan. 

Malah diyakini, sebarang pola atau corak di Pahang akan menyamai juga di Perak dan Perlis, sekali gus mempengaruhi peringkat Persekutuan. Jangkaan tersebut ternyata sepadan dengan keputusan PRU15 yang telah diketahui umum.

Gambaran menuju PRU16?

PRK N.36 Pelangai hakikatnya membawa begitu banyak bagasi yang diheret sejak PRU14 lagi sepertimana telah dinyatakan di atas. Namun, makin dibebani dengan segala macam rencam politik yang terjadi di era Kerajaan PH-BN kini.

Di atas kertas, Umno-BN dilihat cukup gagah dengan rekod lebih baik di N.36 Pelangai pada PRU15 lalu. Bahkan menerusi media, penduduk Pelangai juga dizahirkan sebagai memberi sokongan  padu kepada BN.

Namun, ekspresi keterbukaan adalah sifat umum rakyat Malaysia, tetapi pilihan undi tetap satu hak kebebasan dan rahsia. Untuk itu, Umno-BN yang dibantu PH tidak sepatutnya dilihat tertekan dan terdesak untuk mempertahankan kemenangan.

Jika Umno-BN kalah sekalipun, komposisi baharu tidak akan merubah Kerajaan Negeri melainkan adanya lompat parti. Tetapi kemenangan kerusi ke-18 PN menerusi calon PAS, Cikgu Kasim Samat boleh dibaca sebagai interpretasi rakyat.

Iaitu pendirian dan luahan rasa terhadap pelbagai isu yang berlaku di bawah pemerintahan diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Malah ia mungkin gambaran geostrategik-politik Pahang dan Malaysia selepas ini menuju PRU16 nanti.

IZWAN ABDUL HALIM
[email protected]HARAKAHDAILY 6/10/2023

Baca juga:

- Advertisement -
- Advertisement -