Kuliah duha bulanan jadi hari bertemu pelanggan

Ustaz Imran Abdul Rahman
- Advertisement -

JASIN: Kuliah duha bulanan Ahli Parlimen Jasin, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang diadakan di pekarangan pusat khidmatnya juga akan menjadi ‘hari bertemu pelanggan’ kepada warga Jasin.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman berkata, rakyat Jasin boleh menggunakan kesempatan itu untuk bertemu dengan wakil rakyat mereka dalam program itu.

“Selepas ini sudah dimulakan kuliah duha sebulan sekali di pusat khidmat parlimen ini. Mudah-mudahan seluruh rakyat Jasin dapat bersama-sama.

“Dan dapat jadi hari bertemu pelanggan secara automatik bersama dengan rakyat pada hari ini. Apa-apa masalah kemusykilan boleh buat bersama pada di majlis ini nanti,” ujarnya.

Ustaz Imran berkata demikian kepada Harakahdaily usai perasmian dan pelancaran program dan kuliah duha kali pertama yang berlangsung di Pusat Khidmat Parlimen Jasin, di sini, hari ini.

Katanya lagi, publisiti besar-besaran harus dilakukan bagi mengajak orang ramai terutama warga Jasin untuk hadir ke program itu.

“Dan saya harap termasuk juga jentera-jentera parti dapat hadir supaya lebih meriah lagi. Kerana ini salah satu cara yang saya rasa julung-julung kali diadakan di peringkat Parlimen diadakan kuliah seumpama ini.

“Biasanya di Terengganu, Kelantan, Kedah. Tetapi di negeri Melaka ini kita baru mulakan. Saya harap mudah-mudahan benda ni akan terus berjalan dan istiqamah,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Suhaimi Harun (foto bawah) berkata pelaksanaan program itu merupakan satu permulaan yang baik buat Pusat Khidmat Parlimen Jasin bagi mendekatkan hubungan dengan orang ramai.

“Dan kita harap ianya akan berterusan sehingga masyarakat betul-betul kenal PAS bukan semata-mata untuk memperjuangkan Islam saja tapi bermatlamatkan masyarakat,” ujar beliau.

Tambahnya, untuk penambahbaikan program iti pada masa akan datang beliau mencadangkan agar Jabatan Amal, Pemuda atau Muslimat turut dilibatkan secara lebih aktif.

Beliau turut mencadangkan agar penganjur meningkatkan kemudahan prasarana bagi menampung kehadiran yang ramai selain mengadakan berapa aktiviti yang boleh memasyarakatkan PAS.

“Dan saya mewakili PAS Kawasan Jasin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Tuan Guru yang sudi menggunakan platform ini untuk berhadapan dengan masyarakat sebulan sekali.

“Jadi sepatutnya pihak setempat dan begitu juga PAS Kawasan Jasin khasnya, masyarakat PAS umumnya patut menyambut baik program ini dan menghadirkan diri bagi setiap kuliah.

“Ini merupakan sumbangan untuk membaiki jiwa-jiwa masyarakat ke jalan yang lebih diredai,” kata Suhaimi.

Perasmian dan pelancaran program telah disempurnakan oleh mantan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Jaliluddin Abdul Wahid.

Turut hadir di dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Tangga Batu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Bakri Jamaluddin.

Turut menyertai kuliah duha itu ialah 20 orang peserta rombongan Jaulah Jabatan Amal Kawasan Besut yang diketuai Komanden Amal kawasan, Mohd Lukman Hakim Hashim yang sedang dalam rangka lawatan selama tiga hari di Melaka. – HARAKAHDAILY 30/9/2023

- Advertisement -