BILA menyentuh program ‘OSH in school’ ramai yang bersemangat untuk membantu pihak sekolah. Pelbagai institusi seperti agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) sentiasa membuka tawaran membantu program KKP di sekolah. Hasratnya hanya satu untuk mencegah kemalangan yang boleh berlaku di sekolah terutamanya para murid yang rata-ratanya adalah anak kita.
Jika diperhatikan kes kemalangan yang hampir setiap tahun berlaku ialah kes kemalangan dihempap tiang gol. Kebanyakannya melibatkan kematian. Berikut datanya, kes dihempap tiang gol:
a. Mac, April, 2000 – maut.
b. Januari, 2008 – maut.
c. November, 2010 – maut.
d. September, 2011 – maut.
e. Julai, 2013 – maut.
f. April, 2014 – maut.
g. Julai, 2016 – maut.
h. September, 2018 – maut.
i. Oktober, 2022 – maut.
*Sumber: NST, Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia (2000 – 2022).
Terkini masih juga berlaku (rujuk kes di Bintulu). Apakah punca sebenarnya yang boleh menyebabkan kemalangan, adakah berpunca dari perilaku tidak selamat atau keadaan tidak selamat seperti reka bentuknya? Semua ini perlu dibuat penyiasatan dan pemeriksaan yang terperinci agar penambahbaikan yang ‘tepat’ dapat dilaksanakan bagi mencegah berulangnya tragedi dihempap tiang gol.
Berikut adalah perkara yang perlu dipertimbangkan ketika merekabentuk dan menggunakan tiang gol. Antaranya ialah:
a. Bingkai tiang gol.
Memastikan reka bentuk bingkai tiang gol yang selamat. Ia mestilah cukup selamat untuk menahan sebarang hentakan bola agar tidak tumbang. Mempunyai sudut yang betul agar dapat seimbang dengan pemberat.
b. Jaring.
Jaring hendaklah dipasangkan pada bingkai tanpa tegang dan tali penegang atas hendaklah dipasang pada jaring supaya tidak tertanggal. Jaring yang dipasang hendaklah bebas, supaya apabila bola masuk ke dalam tiang gol ia tidak boleh melantun keluar serta merta. Ia perlu direka sedemikian supaya tidak mencederakan pemain. Sebarang cangkuk atau bucu tajam yang ada perlu dipasang dengan penutup.
c. Kestabilan.
Kedudukan tiang gol mestilah tetap kekal, sama ada ia digunakan atau tidak lagi bagi mengelakkan risiko terbalik. Begitu juga, ia mestilah dilarang bagi mana-mana orang (murid) untuk memanjat jaring atau bingkai tiang gol.
d. Pemeriksaan keselamatan.
Sebelum menggunakan tiang gol, periksa keadaan bingkai dan persekitarannya. Pemeriksaan ini perlu dilaksanakan secara berkala atau sekerap mungkin sebelum digunakan. Jika ia berisiko jangan diguna dan segera dibaiki.
TS. HAJI SHAHRONIZAM NOORDIN
Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan – HARAKAHDAILY 30/9/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.