Pelangai: Tidak wajar PDRM kerap pantau operasi PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerap hadir memantau markas operasi PERIKATAN NASIONAL (PN) di kawasan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pelangai dianggap sebagai perkara yang tidak wajar dilakukan.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hampir sejam sekali kereta peronda PDRM hadir di markas operasi PN dengan alasan ingin mendapatkan maklumat berkaitan petugas, gerak kerja PN dan seumpamanya.

“Ini merupakan satu perkara yang bagi saya tidak wajar dilakukan kerana perkara ini langsung tiada kaitan dengan pihak PDRM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Whip PN menegaskan tidak pernah perkara seperti itu dilakukan ketika PN memegang tampuk pemerintahan kerajaan pusat.

Tambah beliau, PDRM seharusnya hanya bertindak apabila menerima aduan atau maklumat bahawa berlakunya sesuatu perkara yang menjejaskan ketenteraman awam termasuk ketika PRK.

“Kami merupakan parti politik yang berdaftar dan mempunyai pejabat yang berdaftar maka tidak perlu polis nak menimbulkan ketakutan orang ramai,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan tindakan PDRM yang kerap membuat sedemikian menimbulkan ketakutan terhadap orang ramai dan menjejaskan sistem demokrasi di negara ini.

“Saya tidak mahu menuduh pihak kerajaan menggunakan agensi kerajaan seperti PDRM tetapi seolah-olahnya perkara sebegitu yang terjadi.

“Jadi saya rasa ini merupakan perkara yang tidak baik kerana PDRM seharusnya bersifat profesional untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

Tambah beliau lagi, PN tidak mempunyai sebarang niat untuk melakukan sebarang rusuhan dalam melakukan mana-mana kempen politik di kawasan PRK tersebut. – HARAKAHDAILY 29/9/2023

“Terlalu ramai anggota polis membuat rakaman, mengambil gambar dan sebagainya ketika kami melakukan sesuatu program,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan isu tersebut akan dibangkitkan di Dewan Rakyat yang bakal bersidang tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 29/9/2023

- Advertisement -