Tiada kepentingan dalam Akademi Yakin – Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan beliau hanya dilantik sebagai Pengarah Penama (Nominee Director) dalam syarikat Akademi Yakin Sdn Bhd (AYSB).

Advertisement

“Syarikat tersebut merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mana AYSB adalah anak syarikat kepada Yayasan Kelantan Darul Naim,” katanya.

Tambah beliau, dalam enakmen Yayasan tersebut Menteri Besar Kelantan dilantik sebagai Pengerusi, manakala Timbalan Menteri Besar dilantik sebagai Timbalan Pengerusi dan Exco atau Ahli Parlimen Kelantan dilantik sebagai Lembaga Pengarah (Board of Directors).

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi. Ini kerana apabila nama pun nominee director maka segala keuntungan adalah kepada kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Muktamar Tahunan PAS Ke-69 yang diadakan di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut hari ini.

Tambah beliau, tugasan beliau sebagai Nominee Director hanya bekerja menyumbang tenaga dan fikiran serta mencari pelabur dalam Akademi tersebut memandangkan ia merupakan pelaburan am kepada Yayasan Kelantan Darul Naim.

“Jadi segala keuntungan yang dibuat dalam syarikat tersebut akan masuk ke Yayasan tersebut untuk beri biasiswa kepada pelajar-pelajar yang belajar di universiti tempatan, universiti dan di luar negara.

“Jadi saya tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi sedikit pun dalam akademi tersebut memandangkan saya hanya Nominee Director bukannya pemegang saham dan seumpamanya,” tegasnya.

Beliau tidak menafikan syarikat tersebut terlibat dalam perlombongan emas di negeri Kelantan tetapi mempunyai syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tambah beliau lagi, syarikat tersebut boleh dikenakan saman sekiranya tidak mematuhi syarat-syarat tersebut dan bakal dikenakan tindakan yang amat tegas.

“Jadi saya ingin memberitahu bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan mana-mana syarikat yang melanggar syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan itu sendiri,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 29/9/2023