Rakan dorong semangat Nurul Atika untuk lanjut pengajian

- Advertisement -

KANGAR: Walaupun hanya menumpang jiran untuk ke mana-mana destinasi kerana tidak mempunyai kenderaan, tidak menghalang seorang remaja untuk belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai keputusan yang cemerlang.

- Advertisement -

Nurul Atika Shaiful Abzan, 19, anak sulung daripada tiga beradik perlu hidup berdikari mencari wang sendiri bagi keperluan pembelajaran dan membantu ibunya yang hanya seorang suri rumah.

Beliau merupakan antara calon terawal Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) 2.0 yang ditawarkan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali gus melegakan hati ibunya, Miss Arni Tehpuyu yang hanya bergantung wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat bagi menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah.

Surat tawaran disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UniMAP Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli ketika mengunjungi pelajar berkenaan di Kompleks Perumahan Terinai, Wang Ulu, di sini.

Atika berkata sebelum ini beliau memilih UniMAP bukan sahaja kerana berhampiran dengan rumahnya, tetapi kerana berputiknya rasa cinta terhadap bidang Kejuruteraan Alam Sekitar selepas diperkenal oleh rakan baiknya.

Katanya, sahabatnya itu yang kini sedang mengikuti pengajian di UniMAP dalam bidang sama menjadi pendorong semangatnya memilih universiti itu untuk melanjutkan pengajian.

“Rakan baik saya selalu bercerita mengenai kelebihan UniMAP menyebabkan saya nekad untuk memilih UniMAP bagi melanjutkan pengajian,” katanya yang memperolehi CGPA 3.78 ketika mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Perlis sebelum ini.

Terdahulu, Zaliman berkata seramai 261 bakal pelajar UniMAP dikenal pasti bagi program tersebut yang sebelum ini ditawarkan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi menyambung pelajaran.

“Program ini diperluas daripada program sebelum ini merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membantu golongan pelajar B40 dengan memberikan pendidikan yang baik agar mereka dapat keluar dari kitaran B40 seterusnya mengubah nasib keluarga mereka.

“Ramai pelajar yang cemerlang tetapi berputus asa untuk menyambung pengajian kerana kesempitan hidup, justeru program SULUNG 2.0 ini akan membantu mereka sehingga mereka tamat pengajian dengan cePmerlang,” kata beliau.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah UniMAP (Wakil Komuniti) Azihani Dato’ Ali bersama wakil Persatuan Anak Jati (JATI) Perlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar Prof Madya Dr Arif Anuar Mohd Salleh. – HARAKAHDAILY 26/9/2023

- Advertisement -