KUALA TERENGGANU: PAS tidak takut menghadapi pilihan raya untuk berdepan dengan sesiapa sahaja di Parlimen Kemaman.
Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata PAS sanggup menyertai mana-mana pilihan raya walaupun esok pilihan raya itu diadakan.
Beliau menyatakan demikian di sini hari ini, mengulas keputusan Mahkamah Pilihan raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dalam Pilihan raya Umum Ke 15 (PRU15) yang lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata pada 3 Oktober ini adalah permohonan rasmi dari pihak responden dalam kes Petisyen Pilihan raya Parlimen Kemaman itu untuk pergantungan keputusan mahkamah pilihan raya hari ini.
Katanya, pihak responden mempunyai masa 14 hari (sehingga 9 Oktober) untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hakim hari ini.
“Tadi kita (pihak responden) ada mohon pergantungan sementara (keputusan hakim) sehingga pihak responden memfailkan permohonan rasmi.
“Bagaimanapun bila bincang dengan hakim dalam kamar tadi, beliau memberi ruang sehingga 3 Oktober ini untuk kami memfailkan permohonan rasmi untuk menggantung perintah mahkamah hari ini sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan,” ujarnya.
Menurutnya jawatan ahli parlimen tergugur apabila tiada rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari di bawah Seksyen 36 dan 37 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.
“Jika tiada rayuan dibuat dalam tempoh tersebut barulah keputusan hari ini menjadi muktamad.
Jika ada rayuan dalam tempoh itu dia (keputusan itu) akan tergantung, sehinggalah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap rayuan tersebut,” jelasnya.
Pihak peguam responden perlu mengambil masa seminggu bagi berbincang dengan pihak Ahli Parlimen Kemaman, PAS Terengganu dan PAS Pusat bagi mendapatkan posisi dan keputusan terbaik untuk kes tersebut.
“Sebab kita tidak takut pilihan raya, kita kalau boleh nak lawan besok terus,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Kelantan.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini, menerima petisyen difailkan seorang pengundi bagi membatalkan kemenangan Che Alias bagi Parlimen Kemaman pada PRU15.
Keputusan itu dibuat Hakim Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis.
Pada 12 Februari lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak petisyen yang dikemukakan BN dan mengekalkan kemenangan Che Alias di Parlimen Kemaman pada PRU15.
Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abas membuat keputusan tersebut selepas bersetuju bantahan awal responden Ahli Parlimen Kemaman terhadap petisyen keputusan bagi parlimen tersebut.
Namun, pada 2 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya yang difailkan untuk mencabar keputusan PRU15 bagi Parlimen Kemaman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan yang dikemuka oleh BN dan pengundi dari Parlimen Kemaman supaya mahkamah mendengar perbicaraan penuh petisyen berkenaan. – HARAKAHDAILY 26/9/2023