Harga barang naik, rakyat derita: Salah siapa? 

Belum habis isu beras, rakyat Malaysia dikejutkan pada hari ini, 25 Sept 2023 dengan pengumuman kenaikan harga 30 produk roti keluaran Gardenia Bakeries (Gardernia) antara RM0.10 hingga RM0.40 sen bermula 1 Oktober ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barang terutama bahan mentah sangat memberi kesan kepada pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam kehidupan mereka.

Peguam Syarie, Mohd Hafiz Abdul Razak, berkata harga makanan yang semakin tinggi terus menjadi faktor peningkatan bebanan kos sara hidup buat isi rumah di negara ini.

“Masalah ini semakin berterusan dan siapakah yang patut bertanggungjawab ke atas senario ini? Siapakah yang patut dipersalahkan dan mengambil tanggungjawab atas kesengsaraan rakyat menanggung bebanan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat?” soalnya.  

Beliau berkata, pada masa ini, harga barangan telah meningkat dengan purata antara tingga hingga empat kali setahun tetapi gaji rakyat hanya naik satu kali dalam setahun.

- Advertisement -

Hal ini, katanya, telah menunjukkan berlakunya sistem kitaran yang tidak sihat dan tidak seimbang di antara permintaan dan penerimaan. 

“Selalu kita mendengar kerajaan berjanji tidak ada kenaikan harga barang melampau, namun  perkara ini tidak dapat dibendung dari berlaku. 

“Cuba kita bayangkan jika nasi lemak berlauk ayam goreng dijual dengan harga RM 7.50 hari ini berbanding RM 4.50 pada masa lalu, kenaikan yang sangat tinggi dari harga dahulu dijual. 

“Kita minum teh tarik di kedai mamak pula dengan harga RM 2.50 secawan tetapi hari ini dijual dengan harga RM 4.50, ini hanya air belum makanan.

“Sudah tentu perkara ini membebankan rakyat yang sudah sedia susah dengan harga barang keperluan yang tinggi dan tidak seimbang dengan gaji dan pendapatan seharian yang mereka perolehi, ” jelasnya kepada HarakahDaily.

Mohd Hafiz Abdul Razak

Sehubungan itu, katanya lagi, jika diteliti di pasaran rata-rata hampir semua harga barang mentah sudah naik harga sekitar 40-60 peratus. Kenaikan harga tersebut bukan sedikit tetapi sangat tinggi dan amat membebankan para pengguna tertutama yang berpendapatan rendah. 

“Ada golongan peniaga yang terpaksa membuat keputusan dengan menjual barangan mereka dengan harga yang tinggi kerana mereka juga terbeban dengan barangan mentah yang mahal,” kongsinya. 

Justeru, beliau menyarankan agar para pengguna pada hari ini bijak melakukan perancangan yang teliti dengan merancang perbelanjaan sebelum membeli belah dan sentiasa melakukan perbandingan harga untuk memastikan mendapat harga yang berpatutan apabila membuat pembelian. 

Seterusnya, Mohd Hafiz turut menyeru kepada para pengguna agar membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  jika mendapati harga barang yang dijual terlalu mahal. Hal ini supaya pihak kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya kepada kenaikan harga barangan tersebut. 

“Kerajaan melalui kementerian seharusnya memantau harga barang dan terus mengeluarkan kompaun kepada peniaga-peniaga yang tidak mematuhi harga barang yang telah ditetapkan. 

“Jika kita mahu mengharapkan harga barang turun, mungkin itu adalah perkara yang mustahil berlaku, tetapi kerajaan harus bertekad memberi harapan kepada rakyat agar mengekalkan harga barang ini dengan tempoh yang lama dan memastikan tiada kenaikan harga barang lagi selepas ini,” tegasnya.

Bekalan beras tempatan yang tidak cukup untuk rakyat menimbulkan persoalan, ia di atas tanggungjawab siapa?

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri KPDNHEP, baru-baru ini seolah-olah tidak berpijak di bumi yang nyata dengan mengatakan harga barang masih terkawal dan kadar inflasi masih rendah tetapi harga barang tetap naik dan mahal. 

Mohd Hafiz turut memberitahu bahawa, tidak adil jika diukur melalui pengiraan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi perubahan-perubahan harga item-item yang dikhususkan dalam satu tempoh masa dengan menggunakan Perbelanjaan Isi Rumah (HES); kerana keperluan pengguna adalah berbeza-beza dan kuantiti serta julat pemakaianan mengikut keadaan pengguna itu sendiri.

“Kerajaan seharusnya mempunyai tekad untuk membanteras kartel-kartel gelap yang menguasai pasaran dan bertindak menaikkan harga barang sesuka hati mereka sehingga menjejaskan kitaran ekonomi negara.

“Di peringkat pengguna Muslim marilah kita kembali kepada ajaran Islam untuk beramal dengan amalan murah rezeki sebagaimana dipandukan oleh al-Quran dan hadis iaitu sentiasa memohon keampunan Dari Allah SWT; memperbanyakkan sedekah; sentiasa bersyukur di atas nikmat-Nya; sentiasa membantu dan memudahkan urusan orang lain serta mengeratkan hubungan silaturrahim dan beramal dengan bacaan surah Talaaq ayat 2-3,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2023

- Advertisement -