KUALA LUMPUR: Peruntukan kepada program Ini Warisan Kita yang dikendalikan oleh Kementerian Perpaduan Negara perlu dikekalkan kerana memberi banyak manfaat, terutama pembelajaran bahasa etnik di negara ini.
Senator Ak Nan Eh Took berkata, peruntukan program yang mendapat pembiayaan kerajaan memberi manfaat kepada anak-anak belajar bahasa etnik secara formal selain yang diajar di sekolah.
“Pertama sekali, saya nak ucapkan terima kasih kepada Kementerian Perpaduan Negara kerana bersetuju untuk menyalurkan peruntukan melalui program Ini Warisan Kita untuk pembelajaran bahasa etnik di seluruh negara.
“Saya harap peruntukan ini akan berterusan pada masa akan datang dan kementerian terus mengekalkan program ini supaya anak-anak masyarakat Siam dan etnik lain di negara ini dapat mempelajari bahasa ibunda masing-masing di luar sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang pada sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Negara, hari ini.
Ak Nan berkata, peruntukan melalui program Ini Warisan Kita membolehkan anak etnik seperti masyarakat Siam mempelajari bahasa ibunda mereka secara formal kerana setakat ini, hanya bahasa Iban, Kadazan dan Semai diajar sebagai bahasa etnik di sekolah.
“Saya harap perkara ini dapat diambil perhatian oleh kementerian demi manfaat kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata, kementeriannya mengambil maklum cadangan yang dikemukakan oleh Ak Nan demi memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini. – HARAKAHDAILY 26/9/2023