Menentang Rasulullah sekalipun sudah ketahui kebenarannya

- Advertisement -

BERSEMPENA tarikh kelahiran Nabi S.A.W, ada beberapa penghayatan yang ingin dikongsikan. Iaitu mengenai golongan yang sudah menyedari kebenaran Nabi S.A.W, namun tidak bersama dengan Baginda S.A.W. Bahkan memerangi.

Pertama : Pembesar Makkah.

Pembesar-pembesar Makkah, mereka mengenali Nabi S.A.W sejak kecil. Mereka yakin Muhammad yang mereka kenal itu tidak berbohong, bahkan tidak akan berbohong. Pada umur 40, Nabi S.A.W mengisytiharkan dirinya sebagai Nabi. 

Disebabkan kedudukan politik pembesar-pembesar itu tergugat dengan pengisytiharan tersebut, mereka merancang untuk menyekat Nabi S.A.W, sekalipun telah terbukti bahawa Nabi S.A.W itu adalah benar.

Bukan sekadar itu, mereka menyaksikan sendiri mukjizat-mukjizat dengan mata mereka. Mukjizat-mukjizat tersebut sebagai bukti bahawa Nabi S.A.W itu benar-benar Nabi. Namun, mereka masih terus menerus menyekat Baginda S.A.W.

Mereka menemui beberapa orang Yahudi, untuk bertanyakan mengenai kenabian. Ini kerana orang Yahudi memang dikenali dengan hikayat para Nabi mereka. Orang Yahudi melontarkan cadangan supaya tanyakan Muhammad mengenai Raja Zulqarnain dan Ashabul Kahfi.

Yahudi dan Pembesar Makkah meyakini Nabi S.A.W takkan mampu menjawab kerana kisah ini hanya diketahui oleh Yahudi sahaja, berdasarkan riwayat para Nabi mereka sebelum itu. (Rujuk sebab penurunan Surah Kahfi)

Setelah ditanyakan kepada Baginda S.A.W, akhirnya persoalan itu boleh dijawab. Ini membuktikan bahawa Muhammad S.A.W adalah seorang Nabi. Namun, mereka terus menyekat Baginda S.A.W sekalipun telah menyedari kebenarannya.

Setelah Nabi S.A.W berhijrah ke Madinah bersama Sahabat R.A, pembesar Makkah melancarkan serangan kepada Nabi S.A.W yang telahpun disaksikan oleh mereka kebenarannya.

Kedua: 5 orang yang telah beriman.

Setelah menerima wahyu untuk berhijrah ke Madinah, Nabi S.A.W menggesa mereka yang telah beriman untuk berhijrah ke sana. Hijrah dilakukan secara sendirian, atau berkumpulan, bermula pada Muharram.

Di kalangan orang-orang yang telah beriman itu, ada 5 orang yang tidak mahu berhijrah sekalipun mampu. Antara alasannya untuk mengelakkan daripada diketahui oleh orang-orang Makkah bahawa mereka itu pengikut Nabi S.A.W.

Ketika mana Perang Badar tercetus, pembesar Makkah telah mengerah orang-orang Makkah untuk turut serta dalam perang tersebut, bagi memerangi Nabi S.A.W yang telah bersama dengan orang Madinah.

5 orang yang enggan berhijrah tadi, turut sama dikerah. Bagi mengelakkan diketahui sebagai pengikut Muhammad S.A.W, mereka pun turut sama dalam perang tersebut, bersama-sama tentera Musyrikin Makkah memerangi Nabi S.A.W.

Dalam perang tersebut, para Sahabat Nabi R.A yang mengenali mereka berlima, tiada pilihan lain melainkan terpaksa memerangi mereka. Akhirnya mereka terbunuh, dan Allah S.WT. rakamkan kisah mereka di dalam Surah an Nisa ayat 97-100 sebagai menzalimi diri sendiri.

Ketiga : Yahudi di Madinah.

Orang Yahudi melalui sejarah panjang penindasan terhadap mereka. Mereka terpaksa melarikan diri. Antara destinasi pelarian mereka ialah Yathrib (Madinah) kerana berdasarkan riwayat yang mereka terima, akan dibangkitkan Nabi di akhir zaman yang akan muncul di Madinah.

Lantas mereka berkampung di situ beberapa generasi menantikan Nabi Akhir Zaman yang dianggap sebagai penyelamat. Mereka riwayatkan tanda-tanda kenabian kepada anak-anak mereka, supaya anak-anak mereka bersama dengan Nabi akhir zaman itu.

Apabila Nabi S.A.W berhijrah ke Madinah, mereka pergi menemui Baginda S.A.W untuk memastikan kesahihannya melalui tanda tanda kenabian. Adakah benar dia seorang Nabi yang diriwayatkan zaman berzaman? Masing-masing pergi menemui Baginda S.A.W dan menyaksikan dengan jelas tanda-tanda kenabian Baginda S.A.W dengan mata mereka sendiri. 

Walaupun mereka menyaksikannya, kebanyakan mereka enggan bersama Nabi S.A.W atas sebab Baginda S.A.W bukan dari kalangan bangsa mereka. Ada yang berlakon menganut Islam, dan membuat pakatan sulit (Surah al Baqarah ayat 14)

Bahkan, dalam Perang Ahzab, golongan Yahudi berpakat dengan Pembesar Makkah menentang Baginda S.A.W, sekalipun kedua-dua puak ini telah pun menyaksikan kenabian Baginda S.A.W. 

Keempat : Hercules, Raja Rom.

Ajaran Nabi Isa A.S telah tersebar ke banyak negara khususnya di Barat (Rom). Dalam ajaran Nabi Isa A.S ada menceritakan mengenai Nabi akhir zaman yang akan dibangkitkan. 

Bukan sekadar itu, petanda-petanda kenabian turut diriwayatkan beberapa generasi sehinggalah ia diketahui oleh Raja Rom pada zaman Nabi S.A.W, iaitu Hercules. Hal ini digambarkan di dalam dialog ketika pertemuan Abu Sufyan bersama Hercules (Rujuk Shahih Bukhari 2941) pada 9 Hijrah.

Beberapa persoalan yang dilontarkan oleh Hercules jelas menggambarkan bahawa beliau punyai maklumat yang banyak mengenai tanda-tanda kenabian. Di hujung dialog tersebut, surat Baginda S.A.W diberikan kepada Hercules agar beriman.

Hercules pada mulanya ingin beriman. Namun, bimbang penentangan ke atas dirinya dan menggugat pengaruh politiknya, beliau tak berani menzahirkan keinginannya. Lantas, apabila tercetusnya Perang Tabuk, beliau turut menjayakannya. 

Dalam peristiwa Tabuk, beliau mengutuskan surat secara rahsia kepada Nabi S.A.W menyatakan keimanannya. Nabi S.A.W menyatakan bahawa beliau berbohong. (Rujuk Syarah Shahih Muslim oleh Imam Nawawi, tajuk موقف النبي صلى الله عليه وسلم من جواب هرقل)

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 21/9/2023

- Advertisement -
- Advertisement -