BENTONG: Tidak sampai lapan jam, duit deposit terpaksa dipulangkan semula oleh ketua kampung kepada urus setia bagi melangsungkan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya dan Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL PRK N36 Pelangai.
Pada asalnya beliau bersetuju membenarkan pemohonan pihak urus setia menggunakan sebuah padang berhampiran Kampung Bukit Gajah bagi melangsungkan majlis berkenaan.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, itulah bentuk politik ‘barbarian’ yang tidak pernah serik dimainkan Barisan Nasional (BN) yang akan menyebabkan rakyat semakin muak dan benci.
“Kita telah mohon di beberapa tempat di Kampung Kemasul tapi permohonan kita ditolak dengan pelbagai alasan, kita mohon padang di Felda Kemahal di hadapan markas kita di sana, pun ditolak, tak dibenar guna tapak pekan sari.
“Kita mohon padang di Kampung Bukit Gajah bersebelahan tempat ni (majlis pengumuman calon) tempat gajah je pun tuan-tuan, Kampung Bukit Gajah, dah bayar deposit, ketua kampung dah setuju benar kita guna padang tersebut, tak sampai lapan jam, duit deposit tersebut dipulangkan semula,” ujarnya yang juga ADUN Tanjung Lumpur.
Menurutnya, hingga pada saat-saat terakhir setelah diadakan mesyuarat sekali lagi, pihak urus setia mendapat kebenaran untuk menggunakan sebuah kawasan persendirian untuk dijadikan dataran dan tapak program tersebut.
“Untuk makluman tuan-tuan, dataran ini semak, hutan, ada balak di belakang, tapi tak boleh bawa keluar sebab tiada permit, kita sodok.
“Dalam tempoh dua hari dan alhmdulillah dataran ini siap dan akan jadi dataran utama program-program besar sepanjang PRK (Pilihan Raya Kecil) Pelangai. (Foto bawah)
“Inilah pertolongan Allah SWT, alhamdulillah,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya dan Pengumuman Calon PERIKATAN NASIONAL PRK N.36 Pelangai di Simpang Pelangai, malam tadi.
Pada majlis malam tadi, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Cikgu Kasim Samat sebagai calon PERIKATAN NASIONAL pada PRK DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Dato’ Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK itu pada 23 September ini, mengundi awal 3 Oktober dan hari mengundi pada 7 Oktober. – HARAKAHDAILY 21/9/2023