Pengajaran daripada Perjanjian Oslo

- Advertisement -

30 tahun lalu pada 13 September 1993, telah termenterainya Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh Palestine Liberation Organisation (PLO) dengan rejim zionis Israel yang secara ‘tipu daya’ telah menyebabkan bermulanya episod malang dan kelam kepada cita-cita penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

- Advertisement -

Perjanjian tersebut secara tidak langsung dan tanpa disedari telah mengiktiraf akan kewujudan negara haram Israel di samping tujuan utamanya adalah untuk menghentikan penentangan kumpulan pejuang dan rakyat Palestin yang bangkit dengan begitu hebat menentang penjajahan rejim zionis Israel pada ketika itu.

Melihat kepada kebangkitan yang begitu hebat, maka rejim zionis Israel melalui Amerika Syarikat secara tergesa-gesa telah mengesyorkan Perjanjian Oslo. Sebagaimana lazim ketika ini, rejim zionis Israel dan Barat telah menabur pelbagai janji kepada Palestin antaranya Palestin diberikan kebenaran untuk mentadbir wilayahnya sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Maka tertubuhlah Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dirangka regim zionis Israel dan Barat umpama ‘gusi tanpa gigi’ yang tidak mampu berbuat apa-apa di samping memberikan masa 5 tahun kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk mengimplimentasikan pentadbiran di wilayah-wilayah Palestin yang secara terselindung dan tanpa diketahui telah memberi akses kepada rejim zionis Israel untuk terus menceroboh dan merampas tanah milik rakyat Palestin.

Natijahnya setelah Perjanjian Oslo ditandatangani, rejim zionis Israel lebih bermaharajalela dan bertindak lebih ganas. Lebih ramai rakyat Palestin ditangkap dan dibunuh, pergerakan mereka disekat dan dizalimi dengan pelbagai cara, hasil dan sumber asli dari bumi Palestin dikaut dengan rakus di samping rumah kediaman, perniagaan dan tanah mereka dirampas sehingga hanya tinggal 20 peratus dari bumi Palestin yang asal diduduki oleh rakyat Palestin.

Akibatnya keadaan di Palestin bertambah buruk dan secara beransur-ansur rakyat Palestin bangkit kembali menentang rejim zionis Israel. Hakikatnya tidak ada apa-apa yang berjaya diselesaikan dengan rejim zionis Israel selepas termenterainya Perjanjian Oslo malah ia telah menguatkan lagi cengkaman serta meluaskan penjajahan rejim zionis Israel ke atas Palestin di samping mengukuhkan kedudukan Barat di Timur Tengah.

Melihat keadaan kembali genting, Barat khususnya Amerika Syarikat di bawah Presidennya ketika itu Bill Clinton telah mengesyorkan pula Sidang Kemuncak Camp David yang diadakan di Amerika Syarikat dari 11 hingga 25 Julai 2000 yang bertujuan untuk menamatkan sengketa Palestin-rejim zionis Israel dengan dihadiri oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Palestin yang juga pemimpin PLO Yasser Arafat dan Perdana Menteri negara haram Israel ketika itu Ehud Barak.

Sidang Kemuncak Camp David yang sepatutnya berakhir dengan perjanjian tidak membuahkan hasil kerana dilaporkan tidak ada satu pun persetujui oleh kedua-dua belah pihak terutamanya di pihak Palestin berikutan tidak dikotakan janji penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negaranya serta membenarkan kepulangan pelarian Palestin ke bumi Palestin.

Malah rejim zionis Israel langsung tidak mengotakan satu pun janjinya yang dipersetujui dalam Perjanjian Oslo melainkan mencabulinya saban waktu. Ia telah menimbulkan kemarahan rakyat Palestin yang merasa mereka dipermain-mainkan selain berasa maruah dan kedaulatan tanah air mereka diserah bulat-bulat secara tipudaya kepada penjajah rejim zionis Israel oleh Barat.

Akibatnya bermulalah Intifada Kedua oleh rakyat Palestin pada 28 Spetember 2000 selepas Ariel Sharon yang merupakan pemimpin parti pembangkang di Knesset negara haram Israel pada ketika itu melakukan ‘pencerobohan bersifat provokasi’ ke atas perkarangan Masjidil Aqsa yang telah mengakibatkan protes dan rusuhan besar-besaran hingga mengakibatkan pertempuran antara rakyat Palestin dan polis rejim zionis Israel.

Hakikatnya, tidak ada satu pun yang boleh dipercayai apabila mengadakan perjanjian baik dengan rejim zionis Israel mahupun ‘tuannya’ dari Barat. Lihatlah Palestin hari ini, hanya tinggal beberapa kerat sahaja sebelum hilang dari peta dunia. Dengan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani mahupun puluhan resolusi yang dimuktamadkan PBB, keadaan di Palestin semakin buruk manakala rejim zionis Israel semakin menggila dan bermaharajalela.

Bukan sahaja dengan Palestin dan rakyatnya tetapi rejim zionis Israel dengan aturan dan kawalan ‘tuannya’ dari Barat turut menandatangani perjanjian dengan negara-negara Timur Tengah antaranya:

Perjanjian gencatan senjata 1949

Ia adalah perjanjian gencatan senjata antara rejim zionis Israel dengan Mesir, Lubnan, Jordan dan Syria susulan perang Arab-Israel pada tahun 1948 akibat penubuhan negara haram Israel setelah diserahkan Palestin kepada kepada mereka.

Perjanjian ini juga telah menetapkan garis sempadan sementara yang dikenali sebagai Green Lane di antara negara haram Israel dengan Jordan, Lubnan dan Mesir termasuk juga Palestin yang pada ketika itu dikenali sebagai Mandatory Palestine kerana berada di bawah pemerintahan British.

Persidangan Geneva 1973

Persidangan ini diadakan di Geneva, Switzerland untuk mencari penyelesaian dan menamatkan konflik Arab-rejim zionis Israel berikutan resolusi 338 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu pada 22 Oktober 1973 yang meminta diadakan gencatan senjata berikutan peperangan Yom Kippur.

Mesir dan regim zionis Israel menerima resolusi tersebut tetapi ditolak oleh Syria, Lubnan dan Iraq termasuk juga PLO. Ketika perjanjian ini jugalah Soviet Union (Rusia) kali terakhir memainkan peranan utama bersama Amerika Syarikat dalam misi damai Arab-Palestin berikutan perseteruan antara Soviet Union-Amerika Syarikat dalam Cold War.

Perjanjian Camp David 1978

Perjanjian ini boleh dikatakan usaha awal regim zionis Israel mahupun Amerika Syarikat dalam menormalisasikan hubungan antara negara-negara Arab dengan negara haram Israel. Perjanjian ini ditandatangani oleh Presiden Mesir, Anwar Sadat dan Perdana Menteri negara haram Israel Menachem Begin setelah berlangsung rundingan sulit selama 12 hari di Rumah Putih (White House) dengan disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter.

Namun tindakan Mesir mengadakan rundingan terus dengan Amerika Syarikat tidak dipersetujui oleh negara-negara Arab lain seperti Syria, Lubnan dan Libya malah negara-negara Eropah seperti Hungary, Czechoslovakia, Bulgaria dan Albania yang dikenali sebagai Pakatan Warsaw mengecam peranan Mesir. Kumpulan pejuang Palestin juga tidak berpuas hati dengan tindakan Mesir malah mengancam untuk menyerang Mesir.

Akibatnya, NATO mengarahkan tentera di bawahnya untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Hungary, Yugoslavia dan Jerman Timur turut mengancam akan menyerang Mesir jika diteruskan perjanjian damai dengan rejim zionis Israel. Soviet Union, Finland, Poland dan Romania mengancam akan menyerang NATO jika cuba menunjukkan kuasa di Timur Tengah dan negara-negara Arab lain melabelkan Mesir sebagai pengkhianat kepada Islam dan negara-negara Arab.

Namun perjanjian tersebut tetap diterus di mana akhirnya Anwar Sadat menjadi pemimpin Timur Tengah pertama yang melawat negara haram Israel dan turut berucap di Knesset Israel.

Sebagaimana Donald Trump ketika mula menjadi Presiden Amerika Syarikat mengusahakan kempen normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan negara haram Israel, ia sebenarnya telah dimulakan Jimmy Carter kerana ketika perjanjian Kem David ditandatangani, beliau baru sahaja menjadi Presiden Amerika Syarikat dan normalisasi menjadi salah satu agenda utama kempennya ketika bertanding pilihan raya Amerika Syarikat sebelum itu, sama seperti Donald Trump.

Perjanjian Damai Jordan-Israel

Perjanjian ini ditandatangani pada 26 Oktober 1994 di Aqabah, Jordan. Ia adalah perjanjian damai antara Jordan dan regim zionis Israel yang mengakhiri persengketaan kedua-dua negara sejak berakhirnya perang Arab-Israel 1948.

Perjanjian ini juga menjadikan Jordan negara kedua dari Timur Tengah menandatangani perjanjian damai dengan negara haram Israel selepas Mesir serta mengakhiri konflik kedua-dua negara tersebut berkenaan sempadan dan hak milik tanah di samping mewujudkan pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara.

Maka bolehlah dinisbahkan tidak ada satu pun antara perjanjian-perjanjian tersebut menguntungkan negara-negara Timur Tengah khususnya Palestin kerana rejim zionis Israel mahupun ‘tuannya’ dari Barat sentiasa memanipulasi dan mengambil kesempatan atas setiap perjanjian demi untuk kepentingan dan menguatkan cengkaman serta kedudukan mereka baik di Palestin mahupun Timur Tengah secara amnya.

Namun hari ini tampaknya sudah timbul kesedaran yang jelas di Timur Tengah mahupun Palestin kerana sudah ada tanda-tanda kebangkitan jelas penentangan kuat baik kepada rejim zionis Israel mahupun Barat. Apa yang pasti, jika negara-negara Timur Tengah telah ‘bebas’ dari cengkaman Barat, maka secara tidak langsung ia akan menguatkan penentangan Palestin dan rakyatnya terhadap rejim zionis Israel yang akan membawa kepada ‘kemerdekaan’ bumi Palestin.

Sudah sampai masanya negara-negara Timur Tengah khususnya memainkan peranan utama dalam isu Palestin seterusnya membebas dan memerdekakan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan rejim zionis Israel. Jelasnya regim zionis Israel dan Barat tidak boleh dipercayai dalam apa sudut sekalipun dalam usaha untuk memerdekakan bumi Palestin.

Cukuplah dimanipulasi, diperdaya dan dipermainkan selama ini, Dunia Islam perlu bangkit kembali membela dan memerdekakan bumi Palestin dan rakyatnya. Dengan perpaduan dan kesatuan yang kuat di kalangan negara Dunia Islam di samping usaha berterusan membela nasib rakyat Palestin, Insya-Allah bumi Palestin mahupun Timur Tengah mampu dimerdekakan dari rejim zionis Israel mahupun Barat.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
AJK PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/9/2023

- Advertisement -