Aku tak takut kepada sesiapa selain Allah SWT

Dr Radzi Jidin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putrajaya dalam catatan media sosial hari ini, menyatakan tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah SWT.

Datuk Dr Radzi Jidin menulis: “Sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku hanya kerana Allah! Aku tak takut kepada sesiapa selain Allah SWT.”

- Advertisement -

Catatan itu dipercayai berikutan kejadian ketika sesi penggulungan pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat apabila Radzi diarahkan keluar selepas berulang kali membantah tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat tuduhan terhadap dirinya.

Berikutan hukuman terhadapnya, Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) beramai-ramai turut keluar dari dewan sebagai solidariti bersama Radzi.

Sementara itu dalam satu lagi catatan media sosial yang sama, bekas Menteri Pendidikan itu menyifatkan kejadian ketika sesi penggulungan itu sebagai hari hitam buat Parlimen Malaysia.

Beliau juga menyatakan pantang terhadap orang yang tidak bercakap benar.

“Saya juga akan sentiasa pertahankan maruah dan integriti diri. Saya bangun menuntut keadilan dan apabila YAB (Yang Amat Berhormat) Tambun sesuka hati membuat tuduhan.

“Kerana menegakkan kebenaran, saya diminta keluar dewan! Sahabat semua nilaikanlah sendiri kerajaan PH-BN ini,” katanya.

Pada catatan itu juga memuatkan rakaman video peristiwa itu dengan Radzi berkata beliau secara umum adalah seorang yang sentiasa mematuhi peraturan dewan dan apabila Ahli Parlimen Tambun sedang menggulung berkaitan RMK12, beliau tidak bangun bertanya soalan.

Pada waktu itu, katanya keadaan tidak ada apa-apa dan Anwar sedang berucap mengenai isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Jadi jika kita lihat dalam jawapan (ucapan) beliau, tak fasal-fasal disentuh saya Ahli Parlimen Putrajaya, jadi boleh dengar apa dia cakap,” katanya.

Anwar dilaporkan berkata “Bila Peguam Negara buat keputusan, saya tanya dia, saya bukan bincang. Saya tanya apa alasan, dia (Peguam Negara) bagi 11 alasan, saya minta penjelasan…. you boleh gelak….tapi you boleh gelak Putrajaya kerana you buat perkara itu masa pentadbiran…you buat benda itu.” – HARAKAHDAILY 19/9/2023

- Advertisement -