Pelangai: Calon PERIKATAN NASIONAL anak tempatan

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Calon anak tempatan yang dekat dengan rakyat akan ditampilkan PAS sebagai mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) di Dun Pelangai bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PAS sudah mengenal pasti calon yang dekat dengan rakyat dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Calon PAS akan ditampilkan bagi mewakili PN pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai. Nama calon akan diumumkan di Pelangai malam ini.

“Insya-Allah, kita akan isytihar calon malam ini. Kita akan guna lambang PN dan calon itu dari PAS,” katanya yang juga Menteri Besar Terengganu selepas Majlis Perasmian Bangunan Kompleks Pentadbiran MBKT dan Pameran Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu di sini, hari ini.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, pada nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

Ekoran itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini. Manakala penamaan calon 23 September dan 3 Oktober pengundian awal.

Dr Ahmad Samsuri bagaimanapun enggan mendedahkan nama calon PAS terbabit. – HARAKAHDAILY 20/9/2023

- Advertisement -