PETANG semalam rakyat boleh menyaksikan suasana ribut, kecoh dan hangat di Dewan Rakyat. Ucapan penggulungan Perdana Menteri Anwar Ibrahim disifatkan banyak pihak seperti suara pembangkang.
Ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Perdana Menteri turut menyentuh kes DNAA (lepas tanpa bebas) Timbalan Menteri Perdana Ahmad Zahid Hamidi.
Ada banyak catatan di media sosial yang memaparkan kronologi apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam.
Ketika menjelaskan isu tersebut ahli parlimen Putrajaya Dr Radzi Jidin dilapor ketawa mendengar ucapan Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata; “You boleh gelak… you boleh gelak Putrajaya, kerana you buat perkara itu. Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu,” ujarnya.
Ekoran itu Putrajaya bingkas dari tempat duduknya. Dr Radzi berdiri meminta Perdana Menteri menarik balik perkataan tersebut. Beliau mendakwa itu sangkaan jahat.
Lalu Dr Radzi mempersoalkan adakah YB Tambun (Perdana Menteri) yakin dengan dakwaan tersebut.
Berikutan itu Speaker cuba menenangkan keadaan. Kata Speaker “Saya nak tanya, adakah Tambun ‘stand’ dengan keputusan tadi, maknanya apa yang Tambun itu, adakah yakin? Kalau dia yakin, yakinlah. Nak buat macam mana”.
Kenyataan Speaker menyemarakkan lagi kemarahan Radzi. Tambun tidak hirau, dan tidak tarik balik. Putrajaya tidak berpuas hati lalu menjerit, “kalau kata yakin, saya kata saya yakin Tambun peliwat, saya yakin Tambun peliwat. Nak cakap apa?”
Selepas Speaker meminta penjelasan maksud Perdana Menteri mengenai apa yang disebut lalu dijelaskan Perdana Menteri.
“Apa yang saya katakan itu benar, Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku), dia adalah sebahagian daripada pentadbiran lama dan Peguam Negara ‘lama’ (Idrus).
“Sebab itu dia (Radzi) tidak tahan mendengar penjelasan saya. Ini kerana mereka sudah biasa dengan sistem itu dan mereka fikir saya juga melakukan perkara yang sama,” ujarnya.
Jelas berlaku perbezaan di antara kenyataan awal Perdana Menteri berbanding dengan penjelasan kedua.
Kenyataan awal – ‘You boleh gelak Putrajaya, kerana you buat perkara itu. Semasa pentadbiran (PN) you buat perkara itu.”
Dan selepas diminta penjelasan oleh Speaker, Anwar pula berkata, “Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku), dia adalah sebahagian daripada pentadbiran lama dan Peguam Negara lama (Idrus).
Kita nampak ada perbezaan antara kenyataan pertama dan kedua. Kenyataan pertama “You buat perkara itu,”. Dan kenyataan kedua pula “Putrajaya (Radzi) tahu (apa yang berlaku),”.
Pada penjelasan melalui video selepas peristiwa hitam tersebut Dr Radzi
berkata, beliau sentiasa mengikuti program sidang dewan, Perdana Menteri menggulung RMK-12, amat tenang.
Kemudian Perdana Menteri sentuh isu DNAA, tidak pasal-pasal sentuh (beliau) Dr Radzi sebagai ahli parlimen Putrajaya.
Pertahan maruah
Beliau turut menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai hari hitam buat Parlimen Malaysia!
“Saya pantang dengan orang yang tidak bercakap benar. Saya juga akan sentiasa pertahankan maruah dan integriti diri.
“Saya bangun menuntut keadilan dan apabila YAB Tambun sesuka hati membuat tuduhan. Kerana menegakkan kebenaran, saya diminta keluar dewan!. Saya mempertahankan maruah, saya tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah Taala,” ujarnya.
Isu itu berpangkal kes 47 pertuduhan Zahid Hamidi berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Umno berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Bagaimanapun pada 4 September lalu Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan hakim mengenai permohonan Jabatan Peguam Negara untuk menghentikan semua prosiding terhadapnya.
Mengulas isu tersebut ahli parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan walau pun lampu terang benderang, tetapi semalam hari paling gelap dalam persidangan Dewan Rakyat!.
Katanya maruah seorang Ahli Parlimen dicalarkan dengan pertuduhan yang langsung tiada asas dan tidak berkaitan dengan isi ucapan.
“Yang menuduh itu seorang Perdana Menteri. Yang dituduh itu pula seorang Ahli Dewan Rakyat. Dituduh pula di dalam Dewan Rakyat, tempat membuat polisi legislatif tertinggi dalam negara,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Oleh itu beliau menyifatkan ada pemimpin seperti itu menyebabkan kepimpinan negara kucar kacir. Politik tercemar, perpaduan tercalar dan kepercayaan terhakis.
Menurutnya amanah kepimpinan menjadi alat untuk melondeh mencerca memfitnah lawan mematikan musuh.
“Yang anehnya, orang yang mempertahankan maruahnya pula yang dihalau keluar dari dewan. Yang menuduh tidak diarahkan tarik semula tuduhan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan turut menyifatkan kenyataan awal Perdana Menteri cuba menggambarkan Ahli Parlimen Putrajaya terbabit dengan rasuah.
Maka tidak hairanlah ramai menyifatkan 19 September 2023 sebagai Hari Hitam sejarah parlimen Malaysia di era Malaysia Madani. – HARAKAHDAILY 20/9/2023