Kerajaan tidak jamin projek LCS dapat disiapkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengemukakan jaminan bagi memastikan pembinaan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat disiapkan mengikut jadual dan tidak merugikan rakyat.

Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkata, projek tersebut terhenti pada 2019 dan dimulakan semula lima tahun kemudian dengan implikasi kewangan lebih RM6 bilion.

- Advertisement -

Beliau berkata, rakyat bimbang jika projek yang membabitkan peningkatan kos hingga RM11 bilion seperti pengumuman kerajaan baru-baru, gagal membuahkan hasil diharapkan.

“Sehingga kini, kerajaan tidak mengemukakan jaminan bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan serta tidak merugikan TLDM dan rakyat yang akan menjadi mangsa kepada skandal ini.

“Walaupun status pembinaan projek ini sudah mencapai tahap 94 peratus dan belum siap 100 peratus lagi, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan kerajaan tidak dapat memberi jaminan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah penggulungan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, projek tersebut akan bermula pada minggu keempat bulan ini selepas semua masalah berbangkit diselesaikan.

Walaupun tidak dapat memberi jaminan sepenuhnya terhadap projek itu, katanya kerajaan sentiasa membuat pemantauan bagi mempastikan dapat disiapkan mengikut prosedur.

“Saya tidak dapat nak bagi sama ada, ada ke tidak lagi, itu jangka masa depan tidak dapat, tetapi kita akan pantau supaya projek ini akan mengikut treshold line (garis ambang) dia.

“Kita ada hak untuk menamatkan projek ini jika tidak ditamatkan atau dibuat dalam jangka masa yang dipersetujui,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/9/2023

- Advertisement -