KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mempercepatkan proses menyahklasifikasi Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung Projek Tukar Tanah Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kesan projek tukar tanah itu boleh menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta selain menjejaskan kedudukan strategik pertahanan negara.
Katanya, JKSSTUPKK telah membentangkan laporan berkenaan kepada PAC Parlimen ke-14 pada 2 April 2019 dan 16 November 2020.
Jika proses menyahklasifikasi laporan itu dipercepatkan, katanya PAC akan dapat meneliti semula laporan itu memandangkan kerajaan sudah kerugian lebih RM500 juta selain kedudukan strategik pertahanan terjejas.
“Selepas laporan JKSTUPKK Tukar Tanah ini dinyahklasifikasi, PAC akan memulakan prosiding berhubung isu ini bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Turut hadir anggota PAC lain, termasuk Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali; Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, PAC telah menuntut jawapan daripada pihak kerajaan, terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung penyahklasifikasi JKSTUPKK pada 13 Jun lalu.
Katanya, PAC menerima surat maklum balas daripada Azalina pada 27 Jun lalu yang memaklumkan perkara itu akan diteliti dan disemak oleh Jabatan Peguam Negara sebelum apa-apa keputusan dibuat oleh kerajaan.
Namun selepas hampir tiga bulan, katanya kerajaan masih belum memaklumkan kepada PAC sebarang keputusan berhubung perkara itu. – HARAKAHDAILY 14/9/2023