RM30 juta terlalu sikit untuk Lebuh Raya Timur-Barat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Zahari Kechik (PN-Jeli) mempertikaikan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi projek menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli.

Beliau berkata, jumlah dana yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos lalu tidak merangkumi keseluruhan negeri – Kedah, Perak, Terengganu dan Kelantan.

- Advertisement -

Menurutnya, kerajaan menyatakan komitmen untuk mewujudkan wilayah seimbang dengan memberi tumpuan kepada potensi ekonomi wilayah dan transformasi luar bandar, sekali gus mengurang jurang pembangunan.

“Jika itulah yang dimaksudkan, Jeli merasakan peruntukan itu amat jauh dari mencukupi untuk dikatakan sebagai naik taraf, bagaimana pula laluan antara Jeli ke Pasir Puteh.

“Ini membabitkan jarak sejauh 115 kilometer (km), manakala jajaran Gerik ke Baling 114 km yang juga merupakan sebahagian jajaran Lebuh Raya Timur-Barat,” katanya.

Zahari pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini, juga membangkitkan status pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Tiga (LPT3) di Kelantan.

Menurutnya, kerajaan perlu melaksanakan pembinaan LPT3 melibatkan jarak 150 km bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat, Kelantan untuk membangunkan potensi ekonomi.

Katanya, LPT 3 merupakan sambungan kepada LPT 1 dari Karak ke Kuantan Pahang, manakala LPT 2 dari Kuantan Pahang dan berakhir di Kampung Gemuruh sudah beroperasi.

“Jaringan LPT dari Karak ke Pengkalan Kubor sejauh 505 km jika kerajaan komited untuk melaksanakan projek ini menjadi sambungan kepada LPT 1 dan LPT 2.

“Jika ini dibina, menjadi kenyataan dan siap dalam jangka masa terdekat ini, ekonomi wiayah timur akan berkembang lebih pesat dan merapatkan jurang pembangunan timur dan barat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -