Kerajaan China mempunyai hubungan damai dengan Islam

Masjid Besar Xi'an.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah melawat negara China beberapa kali.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau menyaksikan beberapa masjid bersejarah yang dibina pada masa awal kedatangan Islam pada era Khulafa’ al-Rasyidin, bahkan ada katanya telah dibina sejak zaman Rasulullah SAW,

Ini, katanya kerana hubungan dagang antara Arab dengan China berada sejak awal sebelum kelahiran Rasulullah SAW, lebih dahulu daripada ketibaan Islam di Nusantara.

Tambah beliau, China telah menjadi kunjungan para pengembara dan pedagang Arab sejak awal lagi.

Maka, ujarnya Kerajaan China mempunyai hubungan damai dengan Islam, apabila mereka menerima berita kejatuhan kuasa besar Parsi dan Rom.

“Hal ini berlaku setelah mereka mengetahui pemerintahan Islam yang adil, bukannya menjajah atau menyamun seperti bangsa Eropah yang rakus menjajah,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Kalau dihalang, ujar Tuan Guru maka rakyat China juga pasti akan menyambut kedatangan Islam.

Menurut beliau, adanya kalangan Raja China daripada Dinasti Ming yang menganut Islam, malah Laksamana Cheng Ho yang terkenal juga menganut Islam.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, Kublai Khan daripada bangsa Tatar yang memerintah China, tertarik kepada penganut Islam kerana berakhlak mulia, berintegriti dan tidak mengamalkan rasuah.

Ini, jelas beliau sehinggakan Kublai Khan melantik penganut Islam menjadi pemimpin daerah dan pegawai tinggi kerajaan, menjadikan kerajaannya dapat bertahan lama.

Tuan Guru menambah, Islam menimba tamadun ilmu bermanfaat daripada negara China kerana sifat terbuka dengan menerima semua perkara yang baik daripada semua kaum serta menolak perkara yang buruk dan zalim walaupun datangnya dari Makkah.

Menurutnya, masih banyak lagi masjid di China tidak dirobohkan oleh Revolusi Kebudayaan ketika era Mao Zedong kerana disesuaikan bangunannya dengan seni bangunan Cina yang tidak mempunyai apa-apa lambang agama. – HARAKAHDAILY 13/9/2023

- Advertisement -