Apakah nasib Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Limpahan ekonomi dan kekayaan negara perlu diagihkan secara seimbang dan saksama bagi mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia, negara berpendapatan tinggi.

Namun Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, impian tersebut sehingga kini hanya berlegar-legar di Wilayah Persekutuan dan negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang.

- Advertisement -

Beliau berkata, negeri-negeri yang ditadbir pembangkang terus tertinggal dari arus pembangunan walaupun mempunyai kekayaan alam semula jadi seperti unsur nadir bumi dan minyak.

“Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, limpahan ekonomi harus diberikan secara seimbang, saya mohon kerajaan melihat potensi ini.

“Lebih menarik apabila Tambun (Perdana Menteri) menyebut kerajaan membuat dasar tidak boleh eksport nadir bumi, jadi apakah yang kerajaan boleh bantu untuk dimanfaat oleh negeri berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL turut membangkitkan mengenai perkembangan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang terhenti selepas pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.

Beliau berkata, lebuh raya itu merupakan sebahagian projek pembangunan kerajaan PN di bawah RMK12, tetapi status perkembangannya tidak disebut dalam pembentangan KSP RMK12 semalam.

Pembinaan lebuh raya itu membabitkan tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion telah diluluskan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

“Perdana Menteri hanya menyebut mengenai projek penambahbaikan Lebuh Raya Timur Barat yang berakhir di Jeli sahaja, dia tidak sebut mengenai projek pembangunan lain.

“Bagaimana pula projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang mungkin tidak disebut, tetapi akan dilaksanakan, saya mohon penegasan dalam penggulungan menteri nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/9/2023

- Advertisement -