Guru KAFA Selangor: The Untold Story

- Advertisement -

MENDENGAR Khutbah Jumaat adalah kewajipan bagi Muslimin. Sebagai pendengar, semestinya kita mahu mendapatkan pengisian terbaik dari teks dan Khatib Jumaat. 

Setelah mendengar khutbah disampaikan oleh Khatib hari ini, saya dapat melihat  perkara yang baik yang ingin disampaikan JAIS. Antaranya:

– Mewajibkan semua penceramah mempunyai tauliah.

– Semua sekolah seperti tahfiz  persendirian hendaklah berdaftar dengan Jabatan berwajib. Tujuan JAIS pada perkara ini bagi saya sangat baik dan menepati Maqasid Syar’iyyah iaitu menjaga agama, nyawa, dan akal.

Namun saya melihat 3 Maqasid Syar’iyyah ini langsung tidak tepat pada penyusunan semula guru KAFA Selangor. Saya tidaklah bersetuju dengan golongan yang mengatakan Kerajaan atau JAIS ingin menutup sekolah agama. Ini tuduhan yang salah. Tetapi saya melihat strategi yang dilaksanakan JAIS ini sangatlah goyah dan tergesa-gesa. 

Saya jelaskan sebabnya:

1. Masa: Perpindahan guru (Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dilaksana ketika ini sangat hampir dengan peperiksaan PSRA akan dilaksanakan pada akhir September 9 dan awal Oktober. Bagaimana dengan pelajaran yang telah diajarkan guru-guru sebelum ini boleh ditinggalkan begitu sahaja? 

Saya mendengar dari rakan-rakan guru yang hadir taklimat bahawa Ketua Sektor Pendidikan JAIS menyebut ‘guru-guru yang baru masuk ke sekolah boleh semak Rancangan Pelajaran Harian (RPH) untuk mengetahui sekadar mana pelajaran yang telah disampai guru terdahulu’. 

Jawapan yang mudah tetapi langsung tidak meyakinkan. Kita kena faham, setiap guru ada strateginya sendiri ketika mengajar, strategi ini bukan dilatih dalam sehari atau sebulan, tetapi ia memakan masa bertahun-tahun untuk berkesan, mana mungkin guru lain mengikuti strategi guru yang lain kalau mereka ada strategi sendiri. 

Sekiranya guru yang baru masuk mengubah strategi guru lama ke strategi yang baru, adakah sempat dihabiskan? Sedangkan PSRA bakal berlangsung dalam 2 minggu lagi. 

Adakah guru-guru baru yang masuk ke sekolah mampu mengajarkan mata pelajaran PSRA?

Menurut info dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang yang sangat mengejutkan, guru-guru dalam daerah tersebut akan berpindah pada 18 September ini, logik apa yang sedang pihak berwajib tunjukkan bila mana guru-guru Daerah Klang dipindahkan seminggu sebelum PSRA berlangsung? 

Apalah salahnya JAIS mengadakan perpindahan selepas berakhir sesi persekolahan yang akan tamat beberapa bulan sahaja lagi (Februari 2024). Bukankah strategi ini lebih selamat dan kurang risiko. It’s a win win situation 

2. Tempat: Penempatan semula yang banyak tersasar. Hujahan dari Ketua Sektor Pendidikan JAIS ketika taklimat bersama guru-guru menyebut jarak tempat tinggal dengan sekolah baru hanya 20 km sahaja. Tetapi setelah 4 September. Ada sebilangan guru-guru yang beralamat dari Tanjung Karang mengatakan jarak tempat tinggal mereka dan sekolah yang baru mencecah 30 km bahkan lebih dari itu, begitu juga mereka yang beralamat Puncak Alam Kuala Selangor terpaksa mengajar ke Daerah Gombak dengan jarak yang sama jauhnya. Dengan jarak demikian, berbaloikah Elaun RM1,500 buat guru-guru ini berulang yang berulang 5 hari seminggu dalam sebulan?

3. Keselamatan: Penempatan guru-guru pada asalnya memuaskan kerana jarak yang dekat mengurangkan risiko perjalanan. Menambahkan jarak perjalanan yang lebih jauh sebenarnya menambah risiko mereka ke tempat kerja. Adakah JAIS memberikan kebajikan yang sama pada guru-guru KAFA Selangor seperti kebajikan yang diperolehi guru-guru KPM dengan walaupun beban kerja yang sama?

Jawabnya tidak, guru KAFA hanya ada faedah cuti, PERKESO dan KWSP. Mereka tiada jaminan kenaikan gaji, tiada jaminan pinjaman, tiada bonus dari kerajaan, tiada elaun khas penempatan jauh dan lain-lain. Jadi mengapa JAIS merisikokan nyawa mereka tanpa pertambahan kebajikan ketika ini? 

4. Peningkatan kos: Saya mendengar keluhan guru-guru yang telah berpindah tempat, salah satunya cabaran mereka kini ialah menghantar anak sekolah asal (kebanyakan guru menyekolahkan anak mereka di tempat mereka bertugas). Kemudian mereka terpaksa bergegas ke sekolah yang baru mereka bertugas. Di sini Saya nampak guru tersebut telah menambah kos perjalanan 2 sekolah (ini tidak termasuk kos sekolah kebangsaan).

Saya tanya, ustaz tak nak pindahkan anak ke sekolah ustaz sekarang ke? Ustaz jawab, kalau dia pindahkan, dia terpaksa bayar yuran sekolah yang baru semula, bertambah kos (minimum RM150), itu kos 1 orang anak, kalau dia ada 3-4 anak, kos akan lagi bertambah. Katalah anak dia PSRA tahun ini dekat sekolah asal, dia mesti mengambil peperiksaan di sekolah asalnya, jadi tidak boleh pindah ambil peperiksaan di sekolah yang lain. 

Kalau ustaz ni pindahkan anak-anaknya untuk jimatkan masa perjalanan, beliau tetap telah mengeluarkan kos yuran semula. Bukankah ini bebanan. Mampukah JAIS mengecualikan guru yang mempunyai anak dari membayar yuran yang baru? Jawab tidak, sebab hak yuran sekolah adalah hak sekolah, bukan hak JAIS.

5. Tekanan bebanan kerja: Apabila guru-guru KAFA dikeluarkan keseluruhan dari sekolah, maka guru-guru baru datang mengisi tempat. Sebagai AJK PIBG Sekolah, saya melihat isu baru yang berlaku, pentadbir sekolah seperti Guru Besar, Guru Penolong Kanan 1 dan Kerani terpaksa berdepan bebanan kerja yang mendadak seperti menghasilkan jadual baru, mengkaji kemampuan semua guru baru untuk mata pelajaran, menyusun portfolio tugasan sekolah, menyiapkan kerja-kerja guru yang lepas, mengambil alih kelas yang tiada guru, melatih guru baru untuk membiasakan diri di sekolah, berhadapan dengan ibu bapa murid PSRA yang tidak berpuas hati dengan perpindahan.

Ini bebanan yang luar biasa yang tidak berlaku sebelum ini pada setiap SRA Daerah Kuala Selangor. Laporan dari rakan guru-guru juga, ramai guru mengambil cuti kerana sakit dan tekanan kerja yang banyak. Ada seorang guru di Sabak Bernam rebah pengsan kerana tekanan kerja. Akar pada permasalahan ini adalah dari perpindahan yang dilaksanakan JAIS.

6. Berdiam diri: Saya mendapat info dari rakan-rakan guru yang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa Pegawai Bahagian Pendidikan yang bertugas di PAID Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang mahupun JAIS diarahkan menutup mulut atas isu perpindahan ini. Yang lebih aneh, pegawai yang menulis surat perpindahan ini telah ditukarkan ke bahagian lain serta merta. Dalam diam juga, banyak Pegawai JAIS dan PAID tidak bersetuju dan bersimpati atas nasib Guru KAFA. Kalau ramai dalam JAIS pun tidak setuju, salah ke guru-guru, PIBG dan ibu bapa tidak puas hati?

Info baru:

Kerajaan Negeri akan memberi imbuhan RM300 pada penjawat awam termasuk guru kontrak JAIS pada 11 September. Pada Saya, ini hanyalah ubat yang meredakan hati yang bertahan sebentar sahaja. Guru-guru tetap bakal sengsara dengan pelbagai tekanan selepas ini.

Persoalan saya:

Adakah tindakan JAIS terhadap Guru-guru merupakan ajaran Nabi Muhammad S.A.W? 

Jangkaan saya:

– Lambakan kerja akan terus menekan guru-guru.

– Ramai guru akan meletakkan jawatan kerana tekanan dan jarak perjalanan yang jauh.

– Sekolah akan bermasalah semula kerana kekurangan guru.

– Pejabat Agama Islam Daerah akan buang masa membuka semula tawaran mengajar, buang masa menemu duga, buang masa mengkaji sekolah yang kekurangan guru.

– Sekolah akan berhadapan masalah dengan ibu bapa atau penjaga, kajian saya sebagai AJK PIBG Sekolah, kebiasaan sekolah yang tiada guru tempatan akan menyebabkan hubungan tegang apabila bila berlaku isu.

– JAIS sedar markah calon PSRA akan terjejas tahun ini, langkah yang akan diambil ialah menurunkan gred pemarkahan agar mata ibu bapa kabur dengan kejayaan anak-anak yang sebenarnya palsu.

Saranan dari guru-guru:

1. Guru-guru, ibu bapa sangat berharap pihak berwajib boleh menangguhkan perpindahan sehingga akhir sesi persekolahan 2023/2024. 

2. JAIS harus menaikkan elaun dan kebajikan yang selayaknya dengan Guru-guru KAFA Selangor dengan mengadakan perpindahan ini.

3. Melaksanakan penjarakan semula guru-guru dari penempatan mereka dengan sekolah baru dalam radius 10 km.

Saya sangat sedih dan bersimpati dengan Guru-guru KAFA. Mereka tidak boleh bersuara, hanya pasrah menanam barah jiwa. Saya suarakan untuk mereka, kerana mereka guru-guru mulia yang mengajarkan anak-anak kita mengenal tuhan dan akhirat. Saya seru pandangan ini saya disebarkan agar semua masyarakat umum memahami realiti yang sebenar.

Akhir sekali, dengan segala hormat, saya tidak mengatakan semua sektor yang ada dalam JAIS ini salah, saya hanya tujukan Khas kepada Sektor Pendidikan JAIS sahaja. Pada perkiraan saya, Strategi JAIS Kali ini Salah Masa , Salah Tempat dan Salah Keadaan. Ini ketidakadilan pada Guru2 KAFA Selangor.  Sekiranya hujahan saya salah, saya jemput  semua pemikir-pemikir dari Sektor Pendidikan JAIS agar membalas pandangan saya.

Jika kau berlaku adil,
Rela ku menjadi tuah yang taat,
Bila kau berlaku zalim,
Akan ku ikut langkah si jebat.

Yang Benar

Ahli Jawatankuasa Kerja
PIBG SRA dalam Selangor – HARAKAHDAILY 11/9/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0MMEVE3NbafiDG4USPGXnPC2ULNaZbiBbWk4uJe3Q6G1DGFr9Z1hq4XywyUT4MPAtl&id=100000668968155&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -