Pupuk semangat cintakan negara sejak kanak-kanak

KOTA KINABALU: Semangat patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu.

Advertisement

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, ia perlu dipupuk dan disemat dalam diri seseorang sejak kecil lagi, agar jiwa mereka sebati dengan perasaan itu.

Menurutnya, untuk menggilap semangat patriotik, institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam menyemai semangat generasi muda agar cintakan negara.

Beliau menyatakan demikian Ketika berucap sempena Himpunan Hari Malaysia Institusi Pendidikan PAS Sabah, di sini, kelmarin.

Program itu menghimpunkan institusi pendidikan seperti TASTI, PASTI, SRITI dan SMITI dianjurkan oleh Lajnah Pendidikan PAS negeri dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS negeri.

Yang turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd Aminuddin Aling, timbalan-timbalan, Sahar Abdul Majid dan Abdul Hisham Othman serta Dr. Aliakbar Gulasan (setiausaha).

Sementara itu, Dr. Aliakbar yang turut berucap pada majlis itu menyatakan keyakinan dengan kombinasi kualiti ilmu dalam kelas dan semangat cintakan negara akan melahirkan pelajar yang benar-benar ingin membangunkan negara dengan penuh kebaikan dan kebijaksanaan.

Beliau yang juga ADUN Sabah (Dilantik) berharap himpunan itu dapat menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi. – HARAKAHDAILY 11/9/2023