Hujan paling lebat sejak 140 tahun tenggelamkan Hong Kong

Jalan raya di Hong Kong dibanjiri air dengan aliran yang deras pada awal pagi hari ini, Jumaat , 8 Sept 2023. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

HONG KONG: Hujan paling lebat yang melanda Hong Kong dalam tempoh 140 tahun pada awal hari ini, Jumaat (8 Sept)  telah menenggelam dan membanjiri rangkaian jalan-jalan raya, sistem kereta api bawah tanah dan penempatan penduduk di bandar raya tersebut.

Pihak berkuasa Hong Kong berkata, hujan lebat membawa kepada banjir meluas di seluruh bandar raya yang padat dengan populasi  kira-kira 7.5 juta orang turut menenggelamkan pusat-pusat membeli-belah, dengan semua sekolah ditutup dan pekerja disarankan tidak datang bekerja, lapor Reuters.

Sementara, wilayah pentadbiran khas China mencatatkan jumlah hujan setiap jam tertinggi sejak rekod bermula pada 140 tahun lalu. 

- Advertisement -

Lata air jatuh ke kawasan pergunungan di bandar  raya itu ketika pihak berkuasa mengeluarkan amaran risiko tanah runtuh.

Aliran air yang membanjiri jalan-jalan raya  bertukar menjadi deras melalui rakaman video yang tersebar di media sosial,  manakala satu klip video menunjukkan beberapa pekerja kereta api bawah tanah mengharungi air pada paras pinggang di dalam stesen ketika mereka cuba menghalang aliran air yang mengalir turun dari paras jalan raya.

Terowong lintas pelabuhan di bandar raya itu, salah satu arteri utama yang menghubungkan pulau Hong Kong ke Kowloon, turut ditenggelami air, manakala rakaman video dan gambar menunjukkan pusat membeli-belah di daerah Chai Wan telah ditenggalami banjir.

Beberapa buah kenderaan ditenggalami air banjir di jalan raya di Hong Kong pada hari ini, Jumaat 8 Sept 2023. (FOTO: France 24)

Balai Cerap Hong Kong melaporkan hujan lebat melanda sebanyak 158.1 milimeter (6.2 inci) antara jam 11 malam pada sejak sehingga tengah malam  semalam, Khamis (7 Sept) dan awal  pagi ini, Jumaat, waktu tempatan.

Biro cuaca negara itu pula  mengeluarkan amaran ribut hujan ‘hitam’ tertinggi dan berkata lebih 200mm hujan direkodkan di pulau utama Hong Kong, Kowloon dan bahagian timur laut New Territories di bandar itu sejak malam Khamis.

“Palung tekanan rendah yang dikaitkan dengan saki-baki Taufan Haikui telah membawa hujan lebat ke pantai Guangdong China sejak Khamis,” ujar kenyataan  biro cuaca berkenaan.

Seorang lelaki diselamatkan pekerja perbandaran selepas keretanya terperangkap banjir di jalan raya di Hong Kong. (FOTO: NDTV)

Keadaan cuaca ekstrem itu dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya tengah hari pada hari ini. 

Sementara, bursa saham Hong Kong tidak akan dibuka pada pagi Jumaat dan akan kekal ditutup untuk sesi petang jika amaran ribut hujan  ‘hitam’ kekal pada tengah hari.

Pemimpin bandar raya itu, John Lee berkata beliau ‘sangat prihatin’ dengan banjir teruk di kebanyakan bahagian wilayah Hong Kong  dan telah mengarahkan semua jabatan untuk bertindak balas dengan ‘usaha habis-habisan’ bagi membantu menguruskan mala petaka itu. – HARAKAHDAILY  8/9/2023

- Advertisement -