MENGIKUTI perjalanan kempen di PRK Pulai dan Simpang Jeram, agak hebat kempen mereka. Jauh benar bezanya dengan kempen PH-BN di PRU Negeri baru-baru ini. Mungkin kerana sudah menyedari akan peluang mereka yang amat gelap waktu itu, maka mereka menjimatkan tenaga dengan mengurangkan kerja kempen. Hampir tidak kelihatan poster pengumuman ceramah PH.
Bantuan dari Umno kadang ada kadang tidak, berbalah sesama mereka berebut kerusi. Turunlah Anthony Loke dari kayangan, cuba memikat hati pengundi Terengganu yang akhirnya terduduk kerana program anjuran mereka itu, diboikot secara terang dan nyata oleh pimpinan Umno Terengganu. Tiada seorangpun pimpinan Umno yang hadir ke majlis bersama Anthony Loke di Pulau Warisan, di Kampung Cina itu.
Akan tetapi di Johor, bermula sahaja kempen PRK, PH terus meluahkan isi hati mereka di sana kerana mereka merasakan mempunyai sokongan yang padu. Malangnya sekali lagi apabila irama tarian mereka menjadi sumbang kerana tiupan serunai DAP, tidak menepati pukulan gendang Umno.
Ya mungkin PAN berusaha gigih menyamakan ‘key’ lagu mereka, BN dengan DAP, tetapi lagu mereka ini sudah jelas berterabur. Ia tidak sebagaimana yang mereka harapkan, lagu dan irama mereka tidak menusuk jiwa rakyat. Mungkin kerana gelombang kebangkitan rakyat sedang melanda Johor sekarang.
Dan di saat ini PAN berusaha untuk mengajak pengundi di Johor menerima konsep Malaysian Malaysia ciptaan DAP. Rakyat dapat menghidu ini adalah pelawaan yang boleh membawa kecelakaan kepada PH, terutama kepada Umno. Sementara itu, Umno Johor melalui Nur Jazlan Mohammad, telah mendesak agar konsep itu ditarik balik oleh DAP.
Anthony Loke tanpa gentar, menepis desakan itu. Dan ia menjadi lebih selamat bagi DAP, apabila Presiden Umno yang sedang bergantung talian hayatnya dengan DAP dan PKR setelah dilepas tanpa bebas, tampil menjelaskan DAP tidak perlu berbuat demikian. Nur Jazlan terdiam, Ketua Pemuda Umno juga membisu.
Kalangan pimpinan PH-BN yang lain, cuba menyerang PAS dengan isu Pusat Asuhan Tadika Islam (PASTI). Sangka mereka, mereka akan menang melawan budak-budak PASTI. Akan tetapi mereka silap kerana PASTI sudah sebati dengan kebaikan dalam pendidikan kanak-kanak untuk mengenal Islam, duduk kemas dalam minda rakyat tanpa mengira ideologi bangsa dan agama. Sehingga kini, hanya Lokman Adam dan Zolkharnain Abdidin sahaja yang kelihatan beria-ia menembak budak-budak PASTI. Apakan daya, itu sahaja tahap mereka.
Akan tetapi seni berkempen sememangnya begitu. Jika PAN sebagai khadam bertungkus lumus mempertahankan DAP abang besarnya, mereka mesti mengalih isu iaitu membelasah PAS dan PN. Oleh kerana PAS sangat dominan, maka serangan lebih terarah kepada PAS. Jadi di samping memberi penerangan agar rakyat menerima DAP, maka PAS dijadikan ‘punching bag’ bagi meletihkan PAS.
Sayang sekali, kaedah itu mungkin berjaya jika dilaksanakan ketika PAS lemah. Ia bukan lagi taktik yang ampuh sekarang kerana kepercayaan rakyat terhadap PAS waktu ini, sangat tinggi. Dengan izin Allah, PRK Pulai dan Simpang Jeram kali ini bakal menyaksikan keputusan yang berpihak kepada PN.
Dalam kempen mereka, mereka tidak langsung menyebut berkenaan keadilan dalam pemerintahan. Mereka sememangnya tidak boleh menyebutnya kerana mereka dengan jelas, telah gagal mengikut syarat kerajaan yang adil yang mereka sendiri buat. Tersasar dari apa yang mereka perjuangkan ketika mereka melawan BN dahulu.
Yang mereka tekankan dalam kempen agar DAP diterima rakyat. Inilah isi utama kempen mereka. Mahu menuduh PAS berlaku zalim, langsung tidak ada bukti. Mahu dikata mereka berlaku adil pula, banyak bukti PH-BN melakukan hal sebaliknya. Kemudian menipu konon bekas ADUN PAS menyertai PAN, padahal dia sudahpun masuk Umno sebelum ini.
Rakyat sekarang sangat cerdik, tidak mudah diperdaya bagi cerita nostalgia reformasi PH yang sudah jahanam, tersembam menyembah bumi itu. Terutama setelah keputusan memeranjatkan oleh mahkamah dalam beberapa kes besar melibatkan pemimpin PH-BN beberapa hari lalu, yang dahulu sebelum menjadi kerajaan, PH sendiri menyalak mengatakan tertuduh sudah bersalah dan akan memastikan akan disumbat dalam penjara.
Tuduh mereka waktu itu, PN akan menukar Peguam Negara dan membebaskan tertuduh, tetapi sebaliknya PH yang melakukannya. Akhirnya semua pimpinan PH diam tersengih bagai kerang busuk dengan mengatakan mereka tidak bersalah. Itupun masih angkuh tidak mahu kalah, masih lagi mengugut untuk menyumbat orang itu ini ke penjara. Pastinya rakyat Simpang Jeram dan Pulai akan menolak PH.
MOHD NASIR ABDULLAH
8 September 2023 – HARAKAHDAILY 8/9/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.