PRK: Perlu sokong PN, perjuangan antirasuah berkubur

Dr Mazri Yahya
- Advertisement -

MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya menggesa rakyat menggunakan pilihan raya itu sebagai unjuk rasa membantah isu integriti yang sedang melanda negara.

- Advertisement -

Menurut beliau, PKR dan DAP yang dahulu berada di dalam Pakatan Rakyat (PR) yang gigih memperjuangkan reformasi dan integriti namun dilihat sudah lari daripada perjuangan asal mereka.

“Pada 2 September 1998 merupakan tarikh keramat di mana reformasi dilaungkan. Sejak daripada itu pakatan yang terdiri daripada parti Pakatan Rakyat dan DAP melaung-laungkan slogan reformasi, agenda integriti, good governance dan sebagainya.

‘Dan pada 5 September 2023 setelah 25 tahun dan tiga hari, slogan tersebut berkubur. Dan kita harap ia akan berkubur bersama dengan Pakatan Harapan pada hari ini,” ujar beliau.

Tambahnya, selama 25 tahun rakyat dimomokkan dengan agenda yang penuh dengan penipuan kerana pada hari ini mereka yang dahulunya menentang rasuah, namun kini mereka melindungi dan menyelamatkan perasuah.

“Mereka menentang agenda rasuah, rasuahlah mereka lakukan. Mereka pertahankan golongan yang terlibat atau terpalit dengan rasuah; mereka menyatakan tentang good governance dan integriti, hari ini badan pendakwaan telah dipersoalkan integritinya.

“Oleh itu referendum bagi PRK di Simpang Jeram dan juga di Pulai perlulah menjadi satu agenda kita bersama,” ujar beliau.

Tambah Dr Mazri, ini penting agar negara mendapat signal yang betul bahawa rakyat tidak mahu pemimpin terlibat dengan apa-apa agenda yang akan memusnahkan negara ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL bagi PRK DUN Simpang Jeram di Dewan BJ Ballroom, di sini, malam ini.

Yang turut berucap ialah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, Ketua Penerangan PN Pusat, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden NGO Muafakat Nasional, Dato’ Seri Annuar Musa dan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin.

“Kita tidak mahu generasi kita yang berusia 20 tahun ke atas ini apabila mereka menjadi pemimpin pemimpin negara 20, 30 tahun akan datang, mendapat signal yang salah di atas segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.

“Oleh itu saya menyeru kepada penduduk-penduduk di Simpang Jeram dan juga di Pulai jadikanlah proses demokrasi Pilihan Raya Kecil 2023 DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai hendaklah dijadikan referendum bersama bagi menyatakan unjuk rasa kita semua,” ujar Dr Mazri.

Justeru beliau menyeru kepada semua pengundi untuk keluar beramai-ramai pada 9 September ini bagi menyatakan pendirian bersama bagi menyelamatkan negara ini untuk tahun-tahun yang mendatang. – HARAKAHDAILY 7/9/2023

- Advertisement -